Berita | Remaja 16-17 tahun divaksin mulai pertengahan September

PETALING JAYA: Segelintir remaja tertentu akan mula mendapat vaksin Covid-19 pada pertengahan September, menurut surat pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut surat yang ditujukan kepada pengarah kesihatan negeri dan hospital itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan diperluas kepada semua remaja berusia 16 dan 17 tahun dengan atau tanpa masalah kesihatan.

Sementara itu, bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun, hanya mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu akan dibenarkan menerima vaksin.

“Namun begitu (pelaksanaannya) bergantung kepada bekalan vaksin,” katanya.

Noor Hisham berkata, vaksin bagi kumpulan sasaran ini akan diberikan di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditetapkan, selain melalui program-program jangkauan (outreach) di sekolah.

Penilaian pra-vaksinasi akan dibuat berdasarkan status kesihatan semasa, sejarah perubatan, sejarah alahan, dan rawatan/ubatan yang sedang diterima individu berkenaan.

Bagaimanapun, penilaian ini hanya bagi individu yang mempunyai sejarah alahan, lemah sistem imun (immunocompromised) sama ada disebabkan penyakit atau menerima rawatan tertentu, mengambil ubat pencair darah (anticoagulant), atau mempunyai masalah kesihatan yang mengakibatkan kecenderungan mengalami pendarahan.

Kata Noor Hisham, penilaian tersebut bertujuan menentukan kesesuaian seseorang individu untuk menerima vaksin Covid-19, serta jenis vaksin, masa dan lokasi yang tepat bagi individu berkenaan menerima vaksin, iaitu sama ada di hospital atau PPV komuniti.

Berdasarkan penilaian pra-vaksinasi, pegawai atau pakar perubatan kemudian akan memutuskan sama ada penerima boleh mengambil vaksin pada bila-bila masa atau kemudian, atau tidak boleh langsung menerima vaksin.

Jika mendapat kelulusan oleh penilai, individu-individu yang mempunyai risiko seperti yang dinyatakan hanya dibenarkan menerima vaksin di hospital atau pusat perubatan.

“Arahan dalam surat pekeliling ini berkuat kuasa mulai 15 Sept 2021.”

Menteri penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa program berkenaan akan diperluas kepada golongan usia ini, dengan pengumuman dijangka akan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan.

“Pengumuman akan dibuat minggu depan oleh JKJAV tentang bagaimana vaksinasi Covid-19 untuk remaja akan dilaksanakan sesuai dengan pekeliling Dr Noor Hisham Abdullah dan garis panduan klinikal terkini,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Kerajaan sebelum ini digesa sesetengah pihak untuk mula memberi vaksin kepada mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun, dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching menyifatkan kes-kes Covid-19 baru-baru ini membabitkan kanak-kanak sebagai “membimbangkan”.

Katanya, 82,341 kanak-kanak dilaporkan dijangkiti Covid-19 sejak 25 Jan 2020 hingga 30 Mei 2021, dengan “kebanyakan kes” berlaku tahun ini.

Setakat ini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), agensi bawah Kementerian Kesihatan (KKM), telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas. – FMT

oleh Nicholas Chung

krediti foto: Matthew Horwood/Getty Images

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: