Rencana | Covid-19 : Masalah kesihatan dan kebersihan wanita B40, siapa peduli?

Wabak Covid-19 mula mencengkam dunia dan penduduknya sejak dua tahun yang lalu. Banyak negara termasuk Malaysia mulai terkesan dengan pandemik ini apabila kes Covid-19 semakin meningkat, diburukkan lagi dengan mutasi Covid-19 yang lebih berbahaya seperti varian Delta dan varian Lambda. Kes kematian dan kes pesakit yang memerlukan perhatian pihak hospital dan doktor meningkat, lantas menyebabkan kapasiti hospital dan tenaga petugas kesihatan di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan.

Wanita adalah antara golongan yang paling terjejas dan merasai impak Covid-19 secara langsung. Bukan sahaja kumpulan wanita terjejas daripada sudut ekonomi, malahan tahap kehidupan dan kesihatan mereka juga terjejas. Kekuatan dan sumber ekonomi golongan wanita berpendapatan rendah atau B40 di negara ini terjejas akibat sektor ekonomi yang ditutup, menyukarkan mereka untuk mendapatkan kerja ataupun meneruskan perniagaan yang mereka lakukan sebelum ini.

Akibatnya, golongan wanita dalam kumpulan B40 ini turut mengalami isu kesukaran membeli serta mendapatkan produk kesihatan dan kebersihan wanita. NGO seperti ‘I Support the Girls’ membentangkan laporan mereka pada tahun 2020, dan menunjukkan bahawa terdapat peningkatan permintaan terhadap barangan kesihatan diri dan kebersihan wanita sebanyak 35%. Kajian lapangan yang diterbitkan dalam ‘Journal Obstetrics & Gynecology’ juga menunjukkan golongan wanita yang berpendapatan rendah mengalami kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan wanita hari ini.

Sedar dengan isu yang meruncing ini, lebih-lebih lagi dengan ancaman wabak Covid-19 yang seakan belum menunjukkan jalan keluar, Zuraida Kamaruddin mengambil langkah proaktif memulakan insiatif ‘Kit Prihatin Perempuan’ untuk menyediakan bantuan bulanan pad sanitari kepada gadis berumur 9-17 tahun yang berasal daripada kumpulan B40 dan menetap di Selangor. Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang ini menganggap usaha tersebut adalah langkah pemula yang diharap dapat disambut oleh semua pihak.

Untuk permulaan, 200 ‘Kit Prihatin Perempuan’ telah diberikan kepada mereka yang layak dan bantuan ini akan berterusan setiap bulan. Jika insiatif ini mendapat sambutan, ia akan diluaskan untuk lebih ramai lagi wanita di peringkat umur yang lebih tinggi. Inisiatif ini digerakkan oleh Persatuan Anak-Anakmu Selangor dengan kerjasama Penggerak Wanita Muda Negara (Selangor). Mereka yang layak boleh terus mendaftarkan diri secara sendirian atau melalui ibu bapa, penjaga atau wakil.

Insiatif seperti ini realitinya nampak kecil dan jauh sekali bersifat populis. Tidak terkenal dan tidak akan ada ramai pun pihak yang akan bercakap dan membincangkan permasalahan besar yang tersembunyi ini. Namun, langkah ini perlu dilakukan supaya golongan ini tidak berasa terkecuali dan dipinggirkan. Mereka juga mahukan suara dan rintihan mereka didengari dan jika Zuraida Kamaruddin tidak pedulikan nasib mereka, beliau tidaklah layak diangkat menjadi seorang pemimpin wanita.

Langkah inilah yang sepatutnya menjadi tumpuan ahli-ahli politik daripada sibuk bercakaran untuk kuasa. Rakyat sebenarnya sudah letih dan golongan wanita terutamanya antara yang paling merasai impak pandemik Covid-19 ini. Sudah tiba masa semua pihak iaitu Kerajaan, blok pembangkang, barisan NGO dan kumpulan syarikat swasta memainkan peranan bersama untuk membantu rakyat, mengurangkan pertelingkahan dan bersatu hati melawan ancaman wabak Covid-19. Setiap tindakan yang dilakukan selepas ini mestilah dilakukan semata-mata untuk kepentingan rakyat, sesuai dengan semangat ‘Action Beyond Politics’.

oleh MH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: