Berita | PKP bawa ‘bencana’ kepada sektor automotif

PETALING JAYA: Sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0), atau sekatan pergerakan penuh dilaksanakan, sebahagian besar sektor automotif tidak beroperasi dan ini mengakibatkan para pembeli kenderaan terpaksa menunggu lama untuk tempahan mereka dipenuhi, dan pendapatan jurujual terjejas teruk.

Kebanyakan kilang di Lembah Klang dan aktiviti pengeluaran kereta tidak berjalan sejak awal Jun, ketika sekatan pergerakan penuh bermula.

Seorang jurujual yang enggan dinamakan memberitahu FMT, ada kira-kira 20 pelanggannya yang masih menunggu kereta mereka. Sebilangan daripada mereka membuat tempahan pada Februari, tambahnya.

Tanpa petunjuk jelas bila sekatan pergerakan penuh akan berakhir, mereka perlu terus menunggu.

Kata jurujual itu, tiga pelanggannya telah membatalkan tempahan, dan pembatalan tempahan biasanya jarang berlaku.

Beliau berkata, tempahan pada Jun sedikit, dan bulan lepas, tiada langsung. Beliau kini terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk menampung pendapatan, tambahnya.

Walaupun dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), katanya, “pelanggan teragak-agak untuk membuat tempahan kerana kami tak tahu bila dapat hasilkan kereta”.

“Mereka yang telah membuat tempahan selalu bertanyakan kepada saya mengenai tempahan mereka. Saya terpaksa beritahu, kilang tak dapat beroperasi dan saya tak dapat beri jawapan konkrit.”

Beliau menjangkakan situasi Covid-19 akan mengakibatkan kilang-kilang tidak dapat kembali beroperasi hingga Disember. Jika ini berlaku, katanya, pengedar kecil-kecilan akan gulung tikar.

Seorang penggiat industri yang juga tidak ingin dinamakan berkata, jenama-jenama tempatan terjejas teruk dengan penutupan industri.

Sebelum industri ditutup, katanya, pengeluar alat ganti memberitahu penjual untuk menyimpan banyak stok kerana permintaan dijangka tinggi.

Namun, sejak dua bulan lalu, penjual menjadi terbeban dengan kos menyimpan stok, tambahnya.

Satu lagi kebimbangan lain adalah berkenaan surat yang dikeluarkan pihak bank menyatakan persetujuan memberi pinjaman (“letter of undertaking” atau LOU) untuk pembelian kenderaan, yang kebiasaannya sah selama tiga bulan.

“Sebarang LOU yang telah luput tempoh mesti diserahkan kepada bank dengan dokumen pelanggan sekali lagi untuk semakan baharu,” katanya.

“Kita tak tahu sama ada bank akan mengenakan syarat lebih ketat atau mereka akan cuba bantu. Jika mereka mahu semak semula setiap dokumen, jadi kita perlu serah kembali (dokumen).

“Bank juga boleh minta dokumen tambahan, dan ini akan makan masa.”

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah berusaha meyakinkan kerajaan untuk membuka sektor ini dan sesi rundingan telah diadakan dengan Kementerian Pengangkutan, namun kata penggiat industri itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) “benar-benar mengabaikan” sektor tersebut.

“Saya rasa akan ambil lebih masa untuk kita pulih dan kembali kepada keadaan normal,” katanya.

“Boleh jadi ambil masa hingga tahun depan kerana OEM (pengeluar peralatan tulen) kini sangat berhati-hati dengan pengeluaran, tak seperti separuh pertama tahun ini.”

Presiden MAA Aishah Ahmad berkata, penutupan membawa “bencana” bagi industri ini.

Katanya, jika sekatan diteruskan, potongan gaji dan pemberhentian pekerja tidak lagi dapat dielak.

“Bank tempahan bagi setiap syarikat automotif berbeza, tetapi pengedar masih mengambil tempahan disebabkan pengecualian SST,” katanya kepada FMT.

“Bagaimanapun, penerusan fasa pertama (Pelan Pemulihan Negara) di mana bilik-bilik pameran dan pengeluaran tidak dibenarkan beroperasi mulai 21 Jun sangat merugikan industri automotif, dan kami memohon kepada kerajaan agar kedua-duanya dibenarkan buka segera.” – FMT

oleh Nicholas Chung

credit photo: Funtasticko

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: