Berita | Indonesia dakwa tahap keberkesanan vaksin Sinovac menurun

Jakarta: Indonesia menyatakan bahawa ia mendapati vaksin COVID-19 Sinovac kurang berkesan untuk melindungi terhadap kematian dan penyakit yang teruk dari bulan April hingga Jun, berbanding tiga bulan sebelumnya.

Jurucakap Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI), Dr Siti Nadia Tarmizi, berkata keberkesanan vaksin Sinovac semakin menurun dalam mencegah kes-kes teruk dan kematian akibat COVID-19 mulai April hingga Jun lalu berbanding tiga bulan sebelumnya.

Suntikan Sinovac hanya menghalang 79 peratus kematian dan 53 peratus kemasukan ke hospital dalam tempoh tiga bulan, berbanding 95 peratus dan 74 peratus pada Januari hingga Mac, katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan punca tahap keberkesanan vaksin itu semakin menurun dan sama ada pesakit berkenaan dijangkiti varian Delta yang paling berbahaya, dan dikatakan boleh melemahkan vaksin COVID-19.

Negara keempat padat penduduk di dunia itu kini sedang bergelut memerangi lonjakan COVID-19 yang didorong oleh varian Delta yang sangat mudah berjangkit sehingga meletakkan Indonesia menjadi titik panas COVID-19 di Asia.

Sejak wabak itu bermula, Indonesia mencatatkan hampir 3.8 juta jangkitan dan hampir 115,000 kematian.

Indonesia dengan populasi melebihi 270 juta itu bergantung kepada vaksin Sinovac buatan China, mewakili satu pertiga daripada jumlah vaksin yang diperoleh sehingga Disember depan.

Di beberapa negara lain kini, orang ramai mula mempersoalkan keberkesanan vaksin berkenaan, namun kerajaan kekal mendakwa mendapatkan vaksin mencegah COVID-19 lebih baik daripada tidak langsung divaksin.

Brazil sebelum ini turut melaporkan tahap keberkesanan vaksin Sinovac menurun sehingga 50.4 peratus.

Dr Siti Nadia juga memaklumkan bekalan lapan juta vaksin Moderna yang diterima di bawah program kemudahan COVAX akan dikhaskan kepada kakitangan perubatan dan populasi awam seperti wanita hamil dan individu komorbiditi

“Kerajaan akan memastikan vaksin Moderna itu tidak digunakan kepada pihak lain kerana ia dikhas kepada individu tertentu dan kakitangan kesihatan,” katanya.

Lonjakan kes COVID-19 di Indonesia memaksa kerajaan meluluskan suntikan ketiga kepada kakitangan kesihatan yang telah menerima dua dos vaksin Sinovac. – AGENSI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: