Rencana | Sudah tiba masa kerajaan wajibkan pengambilan vaksin

Kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedang mempertimbang untuk mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 dalam usaha mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Oktober ini, wajar disambut baik.

Kerajaan dimaklumkan sedang meneliti perkara berkenaan dan keputusannya akan diumumkan selewat-lewatnya bulan depan, sebaik kajian menyeluruh selesai dijalankan.

Ironinya, anggota masyarakat perlu insaf dan menerima kenyataan bahawa situasi pandemik di negara kita semakin membimbangkan.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga 12 Ogos lebih 9.5 juta (40.7 peratus) daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin, manakala lebih 16.3 juta (69.8 peratus) lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sehingga 11 Ogos pula menunjukkan 20,273,324 mendaftar untuk mendapatkan vaksin, dengan beberapa negeri mencatatkan kadar pendaftaran rendah bawah 80 peratus. Contohnya Sabah (45.5 peratus), Kelantan (64.3 peratus) dan Pahang (76.9 peratus).

Ini menunjukkan masih ramai tidak memandang serius keperluan mendaftar dan mendapatkan vaksin. Ia cabaran terbesar dalam usaha memastikan kita mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat vaksinasi COVID-19 sebelum akhir tahun ini.

Justeru, antara langkah terbaik untuk mencapai misi ini adalah dengan mewajibkan pengambilan vaksin. Ia sangat signifikan kerana keadaan semakin kritikal dan membimbangkan, terutama apabila muncul pelbagai varian baharu seperti Delta.

Kita tidak boleh lagi sekadar menggalak atau memujuk orang ramai mendaftar, sebaliknya perlu memasuki fasa ‘memaksa’ anggota masyarakat mendapatkan vaksin.

Dalam konteks ini, kerajaan perlu meneliti langkah menangani kelompok yang sengaja tidak mahu mendapatkan vaksin, khususnya kumpulan antivaksin.

Kita tidak mahu mereka ini terus menjadi duri dalam daging, menyebarkan pelbagai propaganda sehingga mengelirukan dan menakutkan orang ramai terhadap vaksin.

Ini penting kerana banyak kes di mana ramai yang menolak janji temu atau tidak hadir untuk mengambil suntikan. Dikhuatiri, mereka ini terpengaruh dengan tohmahan kumpulan antivaksin serta berita palsu disebarkan.

Tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja mengganggu pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) serta sasaran imuniti kelompok, tetapi turut memberikan pelbagai masalah kepada petugas.

Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan sikap acuh tak acuh individu yang tidak hadir temu janji dan rakyat yang masih liat serta tidak mahu mendaftar.

Kita boleh ambil contoh amalan negara seperti Arab Saudi yang menetapkan individu yang hendak berurusan di institusi atau pejabat kerajaan, swasta dan menggunakan pengangkutan awam diwajibkan disuntik vaksin COVID-19.

Sebelum itu, pihak berkuasa negara terbabit juga menetapkan hanya pekerja sektor awam dan swasta yang sudah menerima vaksin dibenarkan kembali ke pejabat. Golongan antivaksin juga dilarang melaksanakan haji dan umrah, serta dihalang masuk ke universiti dan pusat beli-belah.

Ini menunjukkan negara luar semakin tegas memastikan seramai mungkin populasi penduduk mereka menerima vaksin.

Cukup-cukuplah segala pujuk rayu yang kita buat. Sudah tiba masanya bertindak agresif dan tegas, jika tidak kes akan semakin meningkat dan terus menjadi mimpi buruk kepada anggota masyarakat. – BH ONLINE

oleh Noor Mohamad Shakil Hameed 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: