Berita | Menteri PN ucap ‘terima kasih’ di media sosial
KUALA LUMPUR, 16 OGOS : Beberapa menteri kabinet menggunakan media sosial untuk mengucapkan terima kasih atas peluang berkhidmat dalam Kerajaan Perikatan Nasional hari ini selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Antaranya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang memuat naik catatan di Instagram dan mengesahkan Kabinet telah mengumumkan peletakan jawatan kepada Agong.
“Terima kasih di atas peluang untuk sekali lagi berkhidmat untuk negara. Semoga Allah merahmati Malaysia,” tulis beliau dalam ‘instastory’.
Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin turut berterima kasih kepada Muhyiddin atas jasa dan khidmat bakti menerajui negara, terutama dalam mendepani wabak Covid-19.
“Dalam situasi pandemik Covid-19, tentunya ia bukan tugas yang mudah. Namun, Tan Sri tetap cekal dan komited mendukung negara dalam mendepani ujian mencabar ini.
“Ribuan terima kasih juga kerana memberi peluang kepada saya untuk sama-sama berkhidmat dalam barisan kabinet dan menjalankan tugas sebaik mungkin menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya menerusi posting di laman Facebook.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengucapkan terima kasih melalui laman Facebook dengan memuatkan sebuah poster.
“Terima kasih Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia ke-8,” tulis poster tersebut. – PPI
kredit foto: FB Jabatan Penerangan Malaysia