Berita | Program Zero Hunger sasar bantu B40 Klang
KLANG, 16 OGOS: Program Zero Hunger meneruskan usaha memberi bantuan kepada penduduk B40 di sini untuk golongan itu meneruskan kehidupan dan bertahan ketika negara dilanda ancaman Covid-19.
Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Klang, Nallan Dhanabalan mengambil inisiatif untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada keluarga yang tidak dapat keluar daripada rumah kerana kuarantin.
“Serahan bantuan pek Zero Hunger dan barangan penjagaan kesihatan kepada dua buah keluarga di Pelabuhan Klang yang menjalani kuarantin di rumah setelah menjadi kontak rapat pesakit positif Covid-19,” katanya menerusi satu posting di laman Facebook hari ini.
Semalam, Nallan bersama dengan PKN Klang juga berjaya menyerahkan pek bantuan kepada penerima di Pandamaran Jaya.
“Saya dan pasukan seterusnya mengakhiri jelajah di Pandamaran Jaya dengan serahan rumah ke rumah kepada 10 orang penerima lain,” katanya menerusi satu posting sebelumnya.
Dalam pada itu, Nallan mengambil maklum beberapa penerima yang sepatutnya mengambil bantuan tidak dapat menghadirkan diri kerana masalah kesihatan.
“Memahami halangan yang dihadapi mereka, saya dan pasukan mengambil tanggungjawab untuk menyampaikan sendiri pek bantuan kepada mereka,” katanya. – PPI