Rencana | Bergadai nyawa sepanjang Covid-19, berlaku ihsanlah kepada Bomba
Peningkatan kes wabak Covid-19 di Malaysia menyebabkan kapasiti hospital seperti dihimpit ke hujung sudut sehinggakan petugas-petugas kesihatan sudah tidak menang tangan untuk mengendalikan jumlah pesakit Covid-19 sendirian. Bantuan daripada pihak-pihak yang lain turut diperlukan dalam sama-sama menguruskan ancaman wabak Covid-19 ini.
Penghargaan perlu diberikan kepada pihak Bomba yang juga sebenarnya sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang bersama melawan Covid-19. Sepanjang wabak Covid-19 mengganas, pihak Bomba terlibat secara langsung dalam melakukan operasi sanitasi di tempat-tempat berisiko tinggi seperti tempat kerja, kawasan perumahan bertingkat, dan sekolah. Pihak Bomba juga tidak menang tangan menguruskan pengebumian jenazah Covid-19 dan pesakit Covid-19 yang terlantar di rumah.
Zuraida Kamaruddin, menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik cadangan dan saranan untuk meningkatkan elaun tambahan kepada pasukan Bomba yang terlibat secara langsung dalam menghadapai ancaman wabak Covid-19 ini. Walaupun setakat ini sudah ada elaun khas disediakan untuk pasukan Bomba yang menguruskan pesakit dan jenazah Covid-19, namun tidak salah untuk elaun ini ditingkatkan kerana pasukan Bomba bertugas lebih masa dan berdepan dengan situasi berisiko tinggi apabila menguruskan pesakit dan jenazah Covid-19.
Penghargaan kepada Bomba sememangnya tidak harus terhenti setakat di situ. Rakyat boleh memainkan peranan untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan Bomba dengan menghargai ikhtiar-ikhtiar yang dilakukan.
Sebelum ini, pihak Bomba dikecam teruk oleh netizen di media sosial apabila mengambil ikhtiar dalam bentuk inisiatif melakukan sanitasi di tempat-tempat berisiko tinggi.
Malang sekali apabila ada pihak yang bermain politik di saat kala pandemik ini, cuba menjatuhkan imej dan memburukkan reputasi pihak bomba terutamanya dengan mengatakan sanitasi ini membazir dan tidak perlu.
Sedangkan Bomba memberikan tumpuan kepada tempat-tempat berisiko tinggi dan ‘indoor’ seperti di pejabat dan kawasan perumahan bertingkat yang sempit seperti PPR.
Rel tangga, pagar besi pintu dan butang lif adalah antara contoh tempat yang disanitasi kerana di situlah adanya kadar sentuhan yang sangat tinggi. Zuraida Kamaruddin juga pernah terlibat bersama Bomba melakukan operasi sanitasi ini. Tidak dinafikan menembak air sanitasi di tempat awam dan terbuka adalah tidak bertepatan dengan saranan WHO.
Namun, ketika negara China baru-baru ini membuat sanitasi awam besar-besaran, berduyun-duyun pula netizen di media sosial memuji dan meminta Malaysia melakukan perkara yang sama. Siap ada pula yang menyalahkan semula pihak Bomba kerana tidak bertindak proaktif seperti negara China. ‘Cancel Culture’ apa yang sedang membarah dalam masyarakat sekarang ini?
Semua pihak termasuklah Bomba masih belajar untuk melawan ancaman Covid-19. Dengan pengalaman yang ada, sekarang pihak Bomba semakin berjaya memberikan tumpuan dan fokus hanya kepada tempat-tempat yang berisiko tinggi. Ancaman wabak Covid-19 ini adalah ancaman yang baru. Tiada satu pihak pun yang tahu apakah cara mutlak dan tepat. Semua pihak, termasuklah Bomba masih berada di tahap ‘try and error’ untuk melawan Covid-19. Jadi berlakulah ihsan kepada mereka.
Setakat ini, vaksinasi adalah ikhtiar paling terbaik dalam usaha ‘mematikan’ penularan Covid-19. Tetapi kemunculan varian Lambda, yang baru-baru ini telah pun dikesan berada di Jepun, sedikit sebanyak akan mengugat usaha dunia untuk bebas daripada cengkaman Covid-19. Apabila vaksin sedia ada berkemungkinan kurang berkesan melawan varian baru ini, adakah sekarang ini kita perlu berduyun-duyun pula memaki dan menyalahkan doktor yang memberikan kita vaksin?
Mungkin lebih baik kita berdiam jika mulut yang ada hanya mampu merendah-rendahkan ikhtiar orang lain jika kita tidak mampu memberi solusi atau menyumbang apa-apa pun dalam usaha melandaikan ancaman Covid-19.
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam…” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim). – PPI
Oleh MH