Berita | Ismail Sabri calon PM Perikatan Nasional
KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional telah dipersembahkan hari ini ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Sumber daripada seorang pemimpin kanan PN memaklumkan, hasil perbincangan malam tadi, Naib Presiden UMNO Datuk Ismail Sabri dipilih sebagai calon Perdana Menteri baharu.
“Jelas kini, ada 100 ahli Parlimen menyokong PN. Kita sepakat memberi peluang parti terbesar dalam PN untuk menjadi Perdana Menteri.”
Katanya lagi, kumpulan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membawa 15 suara ahli parlimen UMNO menolak nama Ismail Sabri.
Bagaimanapun, Zahid dinamakan sebagai calon Perdana Menteri selain Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Menurutnya, Zahid ditinggalkan dengan dua pilihan iaitu sama ada menerima Ismail Sabri yang telah mendapat sokongan Ahli Parlimen PN atau terus dengan keputusan untuk mencalonkan Ahmad Zahid atau Ku Li sebagai calon Perdana Menteri.
“Jika Zahid enggan menerima Ismail Sabri dan mahu bersama Pakatan Harapan (bagi membentuk kerajaan baharu), bermakna beliau dan kumpulannya akan mengkhianati UMNO dan melanggar keputusan Perhimpuan Agung UMNO yang tegas dengan pendirian ‘No Anwar, NO DAP,” katanya. – PPI