Berita | Bantu pengusaha industri termasuk PKS, kumpulan majikan ucap terima kasih kepada Kerajaan PN
KUALA LUMPUR, 18 OGOS : Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) hari ini mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinet pentadbirannya yang mengamalkan dasar mesra industri.
Dalam satu kenyataan, Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman menyatakan hubungan berterusan kerajaan dengan semua pihak berkepentingan sentiasa dijalankan bagi mengenal pasti keperluan sektor perniagaan.
Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Antarabangsa (MITI) telah memainkan peranan penting dalam menguruskan SOP Covid-19 serta inisiatif imunisasi industri antara kerajaan dan swasta atau PIKAS bagi mendorong vaksinasi di sektor swasta.
Ia juga menyuarakan penghargaan kepada kementerian sumber manusia dan agensinya termasuk Perkeso.
“MEF mempunyai akses ke banyak platform peringkat tinggi seperti Majlis TVET Nasional, Majlis Pekerjaan Negara dan Majlis Pemulihan Ekonomi, dan kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan sebelum ini atas semua perkara yang dilakukan untuk para majikan dan negara.
“Penglibatan ini disokong dengan perunukan bantuan kewangan kepada majikan dan rakyat dengan pelaksanaan inisiatif strategik seperti Prihatin, Penjana, Pemerkasa, Laksana dan Pemulih yang mendukung kelangsungan perniagaan, menggalakkan pekerjaan dan taraf kehidupan,” katanya.;
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional kerana membenarkan banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibuka semula minggu ini, seterusnya memberi manfaat kepada ramai pengusaha kecil dan sederhana.
“Ia telah memberi banyak kelegaan kepada PKS dan perusahaan mikro yang diklasifikasikan sebagai tidak penting di bawah Fasa Satu PPN, dan MEF berterima kasih untuk ini,” katanya. – PPI