Berita | Produktiviti buruh meningkat 13.6 peratus
PUTRAJAYA: Produktiviti buruh di negara ini yang diukur dari segi nilai tambah setiap pekerja meningkat sebanyak 13.6 peratus dengan nilai RM22,117 bagi setiap pekerja.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan ketara itu berikutan asas nilai yang lebih rendah dicatatkan pada tahun lalu iaitu negatif (-) 16.1 peratus atau RM19,467 setiap pekerja.
Bagaimanapun, Mohd Uzir, berkata jika dibandingkan dengan suku tahun (ST) sebelumnya, produktiviti buruh jatuh bagi suku tahun yang kedua dengan merekodkan negatif yang lebih kecil 1.8 peratus (ST1 2021: -4.6 peratus).
“Pada suku ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melonjak 16.1 peratus dari tahun ke tahun berbanding -0.5 pada ST1 2021, manakala pekerja meningkat 2.2 peratus iaitu pekerja dengan jumlah 15.2 juta orang berbanding ST1 2021 iaitu -0.04 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai prestasi buruh yang diukur mengikut nilai ditambah setiap jam bekerja, Uzir berkata jumlah jam bekerja pada ST2 2021 meningkat sebanyak 33.2 peratus berbanding ST1 2021, iaitu -0.8 peratus.
“Ini mendorong produktiviti buruh mengikut nilai tambah setiap jam bekerja menurun 12.8 peratus dengan nilai sebanyak RM40.50 setiap jam, penurunan produktiviti pada suku ini berikutan peningkatan jumlah jam bekerja yang lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan nilai ditambah.
“Selain itu, jumlah jam bekerja pada suku ini adalah kedua terendah direkodkan selepas ST2 2020 (6.2 bilion jam bekerja) berikutan waktu operasi perniagaan yang terhad lanjutan daripada pelaksanaan langkah kawalan yang ketat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir turut memaklumkan produktiviti buruh mengikut nilai ditambah setiap pekerja bagi semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan dua digit pada suku ini kecuali sektor pertanian.
“Produktiviti buruh sektor pembinaan meningkat kepada 37.6 peratus pada ST2 2021 berbanding -8.2 peratus pada suku tahun sebelumnya. Sektor pembuatan terus kukuh pada 23.2 peratus (ST1 2021: 5.5 peratus) didorong oleh pertumbuhan semua subsektor kecuali subsektor minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan dan prosesan makanan.
“Pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh di sektor ini dicatatkan oleh subsektor minuman dan produk tembakau (55.7 peratus), diikuti oleh produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (41.8 peratus) dan peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (39.3 peratus).
“Pada masa sama, produktiviti buruh sektor perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan masing-masing meningkat 14.1 peratus (ST1 2021: -4.2 peratus) dan 11.0 peratus (ST1 2021: -2.4peratus),” katanya.
Mohd Uzir berkata, tiga subsektor perkhidmatan yang mencatatkan pertumbuhan ketara ialah pengangkutan dan penyimpanan (37.3 peratus), Kewangan dan insurans (24.6 peratus) dan perdagangan borong dan runcit (19.4 peratus).
“Sebaliknya, produktiviti buruh bagi sektor pertanian menurun 3.3 peratus pada ST2 2021 berbanding pertumbuhan positif 0.9 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya,
Beliau berkata, melihat kepada produktiviti buruh mengikut nilai ditambah setiap jam bekerja, semua sektor ekonomi mencatatkan kejatuhan pada suku ini di mana sektor pembuatan turun 4.2 peratus berbanding pertumbuhan positif 8.1 peratus pada ST1 2021.
“Selain itu, sektor Perlombongan dan Pengkuarian serta Pembinaan terus mengalami kejatuhan masing-masing sebanyak 7.1 peratus (ST1 2021: -2.6 peratus) dan 7.8 peratus (ST1 2021: -8.6 peratus),” katanya.
Secara keseluruhannya, Mohd Uzir berkata, keupayaan perniagaan untuk mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan, seterusnya memacu perniagaan dalam jangka masa panjang.
“Penggunaan automasi yang disokong dengan latihan dan peningkatan kemahiran pekerja sedia ada akan mengoptimumkan produktiviti dan menjana pertumbuhan ekonomi yang kukuh,” katanya. – BH ONLINE
oleh Noor Atiqah Sulaiman