Berita | Penganalisis jangka Ismail Sabri teruskan aspirasi kerajaan PN
KOTA KINABALU: Penganalisis politik menjangkakan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus kukuh jika Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, berkata ia selaras jangkaan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan meneruskan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Katanya, jika Ahli Parlimen Bera itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, ia pasti memberi kesan positif kepada kerajaan negeri sedia ada sejajar kerjasama baik di antara pemimpin PN Sabah yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dengan UMNO negeri.
“Sudah semestinya ada kesan kepada kerajaan negeri jika Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kerana politik Sabah masih lagi dipengaruhi kuat oleh senario politik Persekutuan.
“Ramai berpandangan kerajaan Sabah akan kukuh jika Ismail Sabri dilantik memandangkan beliau masih lagi mendokong aspirasi kerajaan atau kepemimpinan kerajaan PN,” katanya kepada BH, hari ini.
GRS dibentuk ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September tahun lalu, dianggotai parti komponen PN Sabah iaitu BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS, selain Barisan Nasional (BN) Sabah yang terdiri UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).
Gabungan berkenaan mendapat mandat mentadbir negeri selepas mengalahkan gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN) Plus yang diketuai bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada PRN tahun lalu.
Semua parti dalam gabungan itu juga memeterai perjanjian (MoU) untuk mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak PRN-16 yang ditandatangani ketua dan wakil masing-masing pada Januari lalu.
Setiap parti turut mencapai kata sepakat untuk menolak campur tangan luar yang cuba mengganggu kestabilan GRS selain menekankan bahawa ia tidak terjejas dengan perkembangan politik di Semenanjung.
Sebelum ini, UMNO Sabah juga mengeluarkan kenyataan mengulangi komitmen untuk terus mempertahankan mandat diberikan rakyat Sabah kepada GRS pada PRN-16 berdasarkan autonomi dimilikinya walaupun akur dengan kepemimpinan UMNO Pusat yang menarik sokongan kepada PN. – BH ONLINE
oleh Izwan Abdullah