Rencana | MOVAK : Penghubung vaksinasi luar bandar
Program vaksinasi negara sudah mula menampakkan impak positif apabila majoriti penduduk dewasa Malaysia telah pun divaksin. Hampir 80% penduduk dewasa Malaysia sudah mendapat vaksin dan lebih separuh iaitu 56.9% daripadanya telah pun lengkap 2 dos vaksin.
Usaha dan tindakan bersama kerajaan dan semua pihak termasuk badan NGO seperti Penggerak Komuniti Negara (PKN) mengambil inisiatif meningkatkan kebolehcapaian vaksinasi kepada semua rakyat, terutamanya yang tinggal di pinggir dan luar bandar.
Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang dilancarkan pada bulan Jun lalu adalah kesepakatan dan kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perpaduan Negara di bawah pimpinan Zuraida Kamaruddin dan Halimah Sadique.
MOVAK dalam masa dua bulan, melebarkan lagi kebolehcapaian vaksin bukan saja di Selangor, malah di Pahang, Kelantan, Perlis, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang dan Johor.
Kira-kira 225,000 ribu suntikan vaksin berjaya diberikan di bawah program MOVAK.
Kebanyakan yang duduk di pinggir bandar dan di luar bandar mengalami kesukaran untuk mendapatkan vaksin. Akses yang terhad kepada sistem pengangkutan awam dan tempat tinggal yang jauh daripada pusat pemberian vaksin antara menjadi sebab mereka tidak hadir mendapatkan vaksin.
Selain itu, penduduk di luar bandar dan pinggir bandar juga tidak mendapat makluman lengkap dan yang terkini tentang program vaksinasi yang dijalankan oleh pihak kerajaan, menyebabkan ada sebilangan yang ragu-ragu dengan keselamatan vaksin itu sendiri.
MOVAK sedar dengan permasalahan ini, dan terus memastikan isu-isu ini dapat dilandaikan dengan kewujudan 4 unit khas iaitu unit mobilisasi, unit kenderaan, unit panggilan dan unit tindakan komuniti.
Unit kenderaan dikhususkan untuk membantu penerima vaksin yang tiada kenderaan mudah menghadirkan diri ke tempat pemberian vaksin. Unit mobilisasi pula ‘membawa’ tempat pemberian vaksin kepada penduduk yang jauh daripada bandar. Unit panggilan dan unit tindakan komuniti pula penting untuk menyampaikan maklumat mengenai vaksin dan membantu bakal penerima vaksin untuk melakukan pendaftaran dan penyenaraian penduduk yang layak mendapatkan vaksin.
Jika operasi ‘Greater Klang Valley’ di bawah Kerajaan Pusat memberi fokus kepada penerima vaksin di Lembah Klang, MOVAK pula memberi fokus kepada penerima vaksin di pinggir dan luar bandar yang berada di seluruh negeri di Semenanjung.
MOVAK seperti salah satu cebisan ‘puzzle’, melengkapkan usaha berterusan program vaksinasi negara dengan memastikan rakyat secepatnya mendapatkan vaksin dan paling utama, kewangan negara dapat dipulihkan semula untuk merancakkan semula ekonomi rakyat. – PPI
oleh MH