Berita | 41 guru di Melaka enggan divaksin
MELAKA: Hanya 41 guru di negeri ini dikenal pasti enggan menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad.
Beliau berkata, sesi libat urus akan diadakan pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mendekati guru terbabit supaya bersetuju menerima vaksin dalam tempoh terdekat.
Katanya, dalam tempoh sebulan ini pihaknya bersama JPN akan mengambil langkah mendekati semua guru terbabit supaya dapat menerima vaksin.
“Berdasarkan data, terdapat 13,800 guru di negeri ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 0.2 peratus dalam kalangan mereka enggan divaksin.
“Mereka ini saya tidak mahu melabelkan sebagai antivaksin, mungkin mereka tidak faham atau belum terbuka hati lagi,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak mahu perkara itu sama seperti yang berlaku di Johor sehingga membabitkan kerabat diraja.
“Setakat ini 94 peratus guru di Melaka sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, manakala 479 sedang menunggu temu janji,” katanya.
Noor Effandi berkata, semua guru perlu memainkan peranan dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memandangkan sekolah dijangka akan dibuka secara berperingkat mulai awal Oktober. – BH ONLINE
oleh Nuraliawati Sabri
kredit foto: hrmasia