Berita | Guan Eng minta MB Selangor jelaskan ‘sumbangan’ 20,000 dos kepada P Pinang
GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menjelaskan cadangan untuk menderma kira-kira 20,000 dos vaksin Sinovac kepada Pulau Pinang.
Lim merujuk pengumuman kerajaan Selangor bahawa 200,000 dos akan dipinjamkan kepada Pulau Pinang dan dipulangkan menerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) kelak.
Dalam pada beliau mengalu-alukan perkara itu, Lim berkata, Amirudin, yang ditemuinya secara peribadi pada 23 Ogos lalu, mencadangkan sumbangan 20,000 dos vaksin Sinovac kepada Pulau Pinang.
“Tidak disebut mengenai pinjaman 200,000 dos oleh Pulau Pinang kerana soal pemulangan vaksin kelak adalah keputusan yang hanya boleh dibuat oleh CITF,” kata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.
“Selain 200,000 vaksin dipinjam yang perlu dipulangkan, perlu ada penjelasan mengenai sumbangan 20,000 dos daripada Amirudin.”
Jumlah 200,000 dos itu dikatakan sebahagian daripada 500,000 yang sedang diedarkan oleh Selangor kepada negeri lain yang memerlukan vaksin menerusi CITF.
Lim berkata, perancangan itu penting kerana 1.25 juta vaksin yang dibeli oleh kerajaan Selangor itu mempunyai tarikh luput.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ada kira-kira 607,281 dos vaksin yang tidak digunakan di bawah Program Selvax Industri, yang akan dijual kepada klinik di seluruh negara.
Katanya, kerajaan negeri merancang membeli 2.5 juta dos namun hanya membuat 1.25 juta pembelian. – FMT
kredit foto: Reuters