Berita | TNB raih keuntungan lebih tinggi
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) meraih keuntungan bersih RM1.82 bilion bagi separuh pertama tahun ini, lebih tinggi berbanding RM1.41 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Baharin Din, berkata margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal pada 40.6 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini.
Katanya, ia berikutan peningkatan dalam pendapatan yang menyederhana disebabkan perbelanjaan lebih tinggi sebanyak RM507.2 juta, dengan sebahagian besarnya disebabkan kos bukan penjanaan dan peruntukan lebih tinggi untuk hutang ragu sebanyak RM326.6 juta bagi tempoh dikaji.
“Pemulihan secara berperingkat dilihat pada EBITDA dan untung bersih sebahagian besarnya berikutan pendapatan elektrik kumpulan yang lebih tinggi disebabkan pembukaan semula perniagaan tahun ini.
“Prestasi anak syarikat kami juga semakin meningkat oleh kerana lebih banyak perniagaan dibenarkan untuk beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Baharin berkata, meskipun dalam persekitaran yang mencabar, TNB terus menepati polisi dividennya dengan mengisytiharkan dividen interim sebanyak RM1.26 bilion, bersamaan dengan dividen sesaham sebanyak 22.0 sen.
Jualan elektrik meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 59,304 jam gigawatt (GWh) berbanding tempoh yang sama tahun lalu, berikutan perkembangan aktiviti ekonomi.
Pertumbuhan permintaan dipacu oleh sektor industri yang menunjukkan peningkatan permintaan sebanyak 15.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Mengulas mengenai prospek separuh kedua tahun ini, Baharin berkata, prestasi ekonomi Malaysia adalah lebih baik dalam suku kedua dengan mencatatkan pertumbuhan 16.1 peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2021.
Katanya, pertumbuhan itu sebahagian besarnya dipacu peningkatan dalam permintaan domestik dan prestasi teguh eksport yang berterusan.
“Ia adalah konsisten dengan pertumbuhan dalam peningkatan permintaan yang dilaporkan TNB sebanyak 4.4 peratus bagi separuh pertama tahun ini yang menunjukkan pemulihan dalam sektor industri.
“Bagaimanapun, menjelang akhir suku kedua, kelembapan ekonomi berlaku berikutan penguatkuasaan semula langkah pencegahan lebih ketat di seluruh negara kerana kenaikan semula kes COVID-19.
“Di tengah-tengah perkembangan sewaktu pandemik ini, kumpulan akan terus mengambil langkah berhemat dalam keperluan operasi mahupun kewangannya untuk memastikan ia kekal berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, TNB turut mengumumkan hala tuju kelestariannya dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, satu langkah ke arah dekarbonisasi dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Baharin berkata, hala tuju baharu itu adalah terjemahan jelas matlamat kelestarian TNB yang bermula pada 2016 dengan pelancaran pelan strategik Reimagining TNB.
Katanya, komitmen terbabit memberi pemahaman yang lebih jelas terhadap hala tuju kelestarian TNB untuk tempoh 30 tahun akan datang.
“Di bawah hala tuju kelestarian ini, TNB telah menyatakan hasrat untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Hasrat ini dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.
“Selain itu, TNB komited untuk memastikan pendapatan daripada loji penjanaan arang batu tidak melebihi 25 peratus daripada keseluruhan pendapatannya,” katanya.
Awal tahun ini, TNB menyatakan komitmennya untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu selepas Jimah East Power yang mula beroperasi pada 2019, manakala loji sedia ada akan diberhenti tugas apabila perjanjian pembelian tenaga (PPA) tamat.
Beliau menjelaskan, menjelang ke arah komitmen 2035, TNB akan terus menambah baik kecekapan loji termal sedia ada dan meningkatkan portfolio penjanaan RE.
Katanya, sasaran syarikat utiliti nasional itu adalah untuk mencapai 8,300MW RE menjelang 2025. – BH ONLINE
oleh Mohd Zaky Zainuddin
kredit foto: Saw Siow Feng