Berita | Teguh bersama, Azmin dan Zuraida berbalas ‘tahniah’ di Instagram
KUALA LUMPUR, 27 OGOS : Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin saling berbalas ucapan tahniah di laman Instagram selepas pengumuman senarai kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi.
Azmin akan kekal memegang jawatan Menteri Kanan dan menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, portfolio sama disandang semasa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Manakala Zuraida pula akan memegang portfolio Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, menggantikan Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Dalam sebuah posting di laman Instagram rasminya tadi, Zuraida menyatakan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab dalam kabinet.
“Tiga prinsip yang diutarakan Perdana Menteri tadi, iaitu peka, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan keyakinan rakyat akan digenggam erat.
“Doakan kami dapat berkhidmat sebaik mungkin,” katanya.
Azmin kemudiannya menulis komen di posting tersebut.
“Tahniah Kak Zu. Teguh kita menang bersama,” katanya.
Komennya kemudian dibalas Zuraida, “Tahniah juga @azmin_ali. Moga kita terus teguh dan menang bersama.”
Hubungan rapat Azmin dan Zuraida sudah mula terjalin sejak mereka sama-sama berjuang di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, selepas dianaktirikan dan dipecat PKR, mereka mengambil keputusan untuk bersama Perikatan Nasional bagi membentuk kerajaan persekutuan selepas krisis politik yang melanda negara pada Mac tahun lalu.
Mereka kemudiannya disertai lebih 10 ahli parlimen dari PKR yang tidak bersetuju dengan cara Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan mengamalkan nepotisme sepanjang menerajui parti itu. – PPI