Berita | Ambil alih MPIC, Khairuddin ucap tahniah kepada Zuraida
KUALA LUMPUR, 28 OGOS : Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini mengucapkan tahniah kepada penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.
“Tahniah kepada barisan menteri dan timbalan menteri yang baharu.
“Tahniah juga kepada Zuraida yang mengambil alih tugasan di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi,” katanya menerusi satu posting di laman Facebook.
Zuraida sebelum ini memegang portfolio Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, beliau menggantikan Khairuddin bagi menerajui kementerian baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Khairuddin pula tidak diberi mana-mana portfolio kementerian dalam kerajaan hari ini.
Namun, beliau menyatakan kesediaan untuk membantu Zuraida dalam memastikan kementerian itu kekal cemerlang.
“Insyallah saya bersedia membantu untuk terus memperkasakan industri Komoditi Negara,” katanya.
Dalam pada itu, Zuraida menzahirkan penghargaan kepada Khairuddin dalam hantaran balas di Facebook miliknya.
“Alhamdulillah, terima kasih YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali atas kesediaan membantu.
“Insya Allah, amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia,” katanya. – PPI