Berita | Elak sesak, PM mahu kilang jadi PPV
KUALA LUMPUR, 30 OGOS : Pemberian vaksin kepada pekerja kilang warga asing boleh dibuat di premis kilang itu sendiri dengan menjadikan kilang sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kilang-kilang seharusnya menyumbang kepada percambahan ekonomi dan bukan pusat penyebaran Covid-19. Oleh sebab itu, saya tegaskan agar semua pemilik kilang yang mempunyai pekerja asing menjadikan premis mereka PPV,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Menurut Ismail, beliau telah bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan bagi memastikan masalah kesesakan di PPV tidak berulang.
“Saya juga telah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan supaya pekerja asing tidak lagi perlu beratur dan menyebabkan kesesakan di PPV, sebaliknya hanya mendapatkan vaksin di tempat mereka bekerja,” tambahnya.
Terdahulu, tular beberapa hantaran video di laman sosial menunjukkan pekerja asing beratur beramai-ramai untuk mendapatkan vaksin di beberapa PPV yang disediakan, menyebabkan kesesakan di PPV tersebut dan menimbulkan kegusaran orang awam tentang aspek pematuhan SOP. – PPI
kredit foto: Bernama