Berita | ‘Marilah kita berjanji pulihkan negara dari Covid-19’

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat berjanji sempena tarikh keramat 31 Ogos untuk bersama-sama memulihkan negara dan terus berjuang dalam peperangan melawan pandemik Covid-19 yang diyakini akan berakhir dengan kemenangan.

Beliau berkata, bagi tujuan tersebut, rakyat perlu mewarisi semangat kebersamaan ditunjukkan oleh tokoh-tokoh negara yang berjasa dalam pembentukan Malaysia satu ketika dahulu.

Antara tokoh itu, Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H S Lee dan Tun V T Sambanthan.

Tidak terkecuali dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah.

“Pada tarikh keramat ini, marilah kita berjanji untuk bersama-sama memulihkan negara yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum.

“Saya amat berharap, hasil kerjasama daripada kita semua, tahun ini menjadi tahun terakhir kita merayakan Sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana peperangan melawan pandemik Covid-19.

“Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan politik,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan ke-64 yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Beliau turut mengajak Keluarga Malaysia menyusur sejarah perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan merebut kembali tanah air selepas dijajah selama 446 tahun oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Ujarnya, sepanjang tempoh lebih empat abad itu, tidak terhitung nyawa yang terkorban dan harta benda namun, semangat perjuangan tidak pernah patah atau luntur malah sentiasa bercambah serta semakin kukuh seperti mana yang diwarisi kini.

“Antara tokoh besar yang perlu diingati oleh generasi sekarang ialah Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Naning, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhoby dan lain-lain.

“Perjuangan menuntut kemerdekaan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, telah menyatukan seluruh kepimpinan tanpa mengira garis politik dalam menolak gagasan Malayan Union.

“Inilah sebenarnya semangat dan perjuangan yang telah wujud sejak dulu lagi, dengan matlamat mencapai kemerdekaan tanah air,” tegas beliau.

Jelasnya lagi, nilai kemerdekaan negara ini terus dipelihara oleh kesemua Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri berkata, negara berterima kasih kepada perjuangan dan pengorbanan seluruh yang terlibat terutama anggota keselamatan, tentera dan polis sejak dahulu sehingga kini.

“Setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut perlu mengenali sejarah. Individu yang mengenali sejarah akan memiliki jati diri yang kukuh dan saling menghormati.

“Yang paling utama ialah mereka akan memiliki fikiran yang fokus dalam mengatasi apa pun cabaran sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia.

“Cabaran yang sedang kita hadapi hari ini belum pernah ditempuhi sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini. Kini kita berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi,” jelasnya.

Tambah beliau, seluruh Keluarga Malaysia diminta segera mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara kerana ia terbukti memberi impak positif.

“Berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik Covid-19 akan berakhir dengan kemenangan,” katanya. – SINAR HARIAN

oleh Mohd Ridzuan Abu Hassan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: