Berita | PN Klang : Menyambut merdeka dengan ihsan dan empati
KLANG, 2 SEP : Sambutan kemerdekaan Perikatan Nasional (PN) Parlimen Klang dua hari lalu tidak diadakan secara mewah, tetapi amat membumi dengan tujuan membawa sedikit keceriaan kepada kumpulan masyarakat yang terjejas.
Program Kembara Merdeka Prihatin Klang yang mensasarkan lapan kawasan itu telah memberi manfaat kepada lebih 400 ahli kumpulan B40 yang tinggal di parlimen berkenaan.
Penyelaras Pusat Khidmat Komuniti PN Klang, Nallan Dhanabalan melalui hantaran di Facebooknya berkata, program itu dimulakan pada jam 7 pagi dengan menyantuni 50 penduduk di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman, Bukit Raja.
Kembara diteruskan dengan menyantuni penduduk terjejas di Flat Hijau (30 orang), SJKT Persiaran Raja Muda Musa (110 orang), Pangsapuri Permai Indah (50 orang), Kampung Nelayan Teluk Gong (30 orang), Masjid Ar-Rahman Sungai Pinang (50 orang), Teluk Gadong Indah (30 orang) dan Kampung Batu Belah (60 orang).
“Selain barangan makanan asas dan barangan penjagaan diri, saya turut menyumbangkan pek Jalur Gemilang untuk diagihkan kepada penerima dan warga sekitar bersempena sambutan Bulan Kebangsaan yang ke-64,” katanya.
Turut bersama dalam program kembara itu adalah Ketua Bahagian BERSATU Klang, Shah Fizul Sha’arani. – PPI