Buahfikir | KPPK bukan biasa-biasa
Dulu, masa mula-mula saya kenal politik dan kerajaan lewat suratkhabar, saya selalu anggap Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merupakan kementerian biasa-biasa. Tidak seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Ekonomi yang jelas prestij dan peranannya untuk negara.
Meskipun kita tahu, KPPK menyumbang KDNK negara, namun kementerian ini tidak popular, mungkin kerana peranannya yang terlalu khusus dan manfaatnya sangat bersasar.
Tanggapan saya salah. Buktinya apabila Zuraida dan kementeriannya senaraikan enam perkara penting yang wajib diberi fokus. Fokus pertama ialah menggunapakai ekonomi sirkular dalam kementerian baru ini dengan mengeluar dan mengitar semula sissa komoditi menjadi produk yang boleh dipasarkan. Pasti, pengalaman beliau dua penggal dengan cemerlang menerajui KPKT sangat membantu.
Fokus kedua, Zuraida berhasrat menjana lebih banyak pendapatan melalui usaha kitar semula produk sisa, khususnya biojisim kelapa sawit. Fokus ketiga, Zuraida mahu menggerakkan KPPK meningkatkan produktiviti komoditi dengan tumpuan kelestarian tanaman.
Empat fokus awal jelas, KPPK berperanan besar dalam mewujudkan kelestarian dan meningkatkan kualiti alam sekitar. Fokus selebihnya tertumpu kepada ekonomi. Di bawah KPPK, Zuraida memberi tumpuan masalah kekurangan tenaga kerja serta perancangan kerjasama dengan Indonesia bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah.
Kementerian baharu, cabaran baharu tidak menganggu rentak untuk Zuraida terus berkhidmat. Pepatah menyebut, kalau benihnya baik, dicampak ke laut jadi pulau, campak ke langit jadi bintang. Moga maju jaya Zuraida Kamaruddin. – PPI
Oleh: Ahmad Roi