Rencana | KPPK: Usaha jernihkan yang keruh

Dari dulu, pencemaran alam akibat sisa buangan lebihan kelapa sawit selalu jadi perhatian kerajaan dan massa. Hinggakan wujudnya peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Minyak Sawit Mentah) 1977 – bagi mana-mana kilang yang tidak mematuhi peraturan kualiti, dikenakan tindakan sewajarnya.

Tahun ini, Sungai Pukin di Rompin tercemar teruk akibat sisa rawatan kelapa sawit dari sebuah kilang di Ulu Keratong. Dikatakan kejadian berpunca daripada tebing satu daripada kolam rawatan sisa sawit yang runtuh, menyebabkan sisa itu mengalir ke alur sungai.

Senasib dengan Sungai Pukin, Sungai Batang Benar di Negeri Sembilan juga tercemar akibat sisa buangan kelapa sawit dari kilang berdekatan. Apabila sungai tercemar, seluruh ekosistem juga turut kacau. Habibat beribu jenis hidupan sungai turut terjejas.

Di Pajam, kira-kira 3,000 ikan ternakan di kolam berhampiran mati akibat pencemaran ini. Jelas, masalah ini juga menganggu ekonomi penduduk setempat khususnya pekebun dan penternak.

Masalah pencemaran ini kritikal. Bumi semakin tua, kelestarian harus dipertahankan. Namun, apakah dengan mengenakan tindakan undang-undang atau menggantung lesen kilang yang terbabit sudah memadai menyelesaikan masalah ini? Tentu tidak.

Baru saja dilantik menerajui KPPK, Zuraida Kamaruddin sudah pegang masalah yang kian meruncing – seolah tiada jalan keluar. Ketika pertama kali bercakap dalam sidang media sebagai Menteri KPPK dalam majlis serah tugas tempoh hari, ada dua perkara yang memberi sinar kepada masalah yang kita bincangkan di atas.

Pertama, Zuraida akan mengguna pakai sistem sirkular dalam kementeriannya, termasuklah dalam mengurus sisa sawit melalui kaedah kitar semula untuk menjadi produk yang boleh dipasarkan. Bukan saja mampu meraih ekonomi sampingan, lebih utama kaedah ini dapat menyelamatkan habitat dan mengekalkan kelestarian ekosistem.

Perkara kedua yang dapat menjernihkan keruh cemar ini ialah tumpuan Zuraida menjana lebih banyak pendapatan melalui usaha kitar semula produk sisa khususnya biojisim kelapa sawit. Ingat, semasa di KPKT, Zuraida berjaya menggerakkan budaya kitar semula dalam komuniti yang mempunyai pelbagai kepentingan. Tentu, menggerakkan organisasi yang lebih tersusun seperti kilang lebih mudah hendaknya.

Naikkan ekonomi, turunkan pencemaran – begitulah kira-kira sifir mudah yang akan diusahakan Zuraida Kamaruddin. Tugas ini bukan saja peranan Zuraida dan KPPK, tapi kita juga kerana nikmatnya untuk semua umat manusia. – PPI

Oleh Ahmad Roi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: