Berita | PKPD Kuala Kedah dengan kawalan ketat darat, laut
ALOR SETAR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) Kuala Kedah membabitkan dua zon mukim Kuala Kedah dilaksanakan selama 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam tadi.
Berikutan itu, polis melakukan pemantauan lebih ketat membabitkan jalan darat dan laut bagi mengelak penularan COVID-19.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata PKPD Kuala Kedah akan lebih ketat berbanding PKPD Kota Setar yang dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata, sebarang aktiviti keluar masuk yang tiada keperluan tidak dibenarkan di kawasan berkenaan.
“Hanya Kampung Telok Talipon, Kampung Baru Bakar Kapur dan Kampung Padang Garam di Kuala Kedah terkecuali daripada PKPD ini,” katanya pada sidang media di Jalan Kuala Kedah, malam tadi.
Ahmad Shukri berkata setakat ini dua sekatan jalan raya (SJR) didirikan di Jalan Kuala Kedah dan Kubang Rotan membabitkan laluan masuk dan keluar.
Beliau berkata, lapan jalan kekal ditutup dan aktiviti nelayan di laut dibenarkan kecuali individu yang memakai gelang merah jambu. – BH ONLINE
oleh Zuliaty Zulkiffli
kredit foto: Abd Razak Aid