Berita | Hampir 70 peratus individu dewasa lengkap vaksin
KUALA LUMPUR, 7 SEP: Sebanyak 68.8 peratus atau 16,107,712 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.
Ia bermakna sebanyak 313,751 dos vaksin membabitkan 132,640 dos pertama dan 181,111 dos kedua telah selesai diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Perkara ini dimaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini melalui perkongsian infografik di laman Twitter rasminya.
“Sebanyak 20,677,827 individu atau 88.3 peratus populasi dewasa Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat Isnin,” katanya.
PICK telah dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi menyediakan vaksinasi secara percuma kepada semua penduduk Malaysia bagi membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara. – PPI
kredit foto: Mstar