Berita | Harga minyak sawit mentah dijangka stabil melebihi RM4000 satu tan

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan stabil di atas paras RM4,000 satu tan pada suku ketiga 2021 sebelum mengalami prestasi rendah pada suku keempat berikutan pengeluaran dijangka meningkat semula.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata peningkatan pengeluaran dan eksport dijangka berterusan sehingga tahun depan, disokong oleh perkembangan positif situasi pandemik COVID-19, prospek minyak dan lelemak global yang lebih baik di samping dasar perdagangan negara pesaing dan pengimport yang menggalakkan.

“Sementara itu, harga minyak sawit pada 2021 diunjurkan pada purata RM4,000 satu tan, meningkat 49 peratus daripada RM2,685 satu tan pada 2020, didorong pengeluaran MSM yang mungkin lebih rendah,” katanya semasa Ekspo dan Pameran Sawit Dunia 2021 secara maya pada Selasa.

Beliau berkata, bagi pengeluaran MSM pada 2021, pengeluaran tempatan dijangka mencapai kira-kira 18 juta tan, lebih rendah daripada angka tahun lalu, yang sebahagiannya disebabkan penawaran tenaga kerja yang terhad ekoran penutupan sempadan serta ketersediaan tandan buah segar (TBS) yang berkurangan.

“Pertumbuhan pengeluaran bagi separuh kedua diunjurkan lebih rendah daripada pertumbuhan separuh kedua 2020 susulan penyusutan pengeluaran TBS dan kawasan matang berkurangan,” katanya.null

Ahmad Parveez berkata, dari segi stok minyak sawit, stok penutupan tempatan tahun ini dijangka meningkat kepada 1.7 juta tan daripada 1.27 juta tan pada Disember 2020, didorong terutama oleh pengeluaran MSM yang dijangka bertambah pada November dan Disember 2021 berbanding tahun lalu.

“Bagaimanapun, stok mungkin kekal terhad memandangkan stok minyak sayuran yang rendah di negara pengimport utama sekali gus merangsangkan permintaan terhadap minyak sawit,” katanya.

Mengenai eksport pula, beliau berkata eksport keseluruhan pada 2021 dijangka susut 6.3 peratus tahun ke tahun kepada 16.3 juta tan berikutan kekurangan ketersediaan bekalan selain penyusutan pengeluaran walaupun permintaan minyak sawit diunjurkan lebih kukuh tahun ini.

Beliau bagaimanapun berkata, eksport minyak sawit ke India melonjak lebih dua kali ganda bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini kepada 1.8 juta tan daripada 0.85 juta tan pada 2020, sebahagiannya didorong oleh tarif eksport yang lebih tinggi oleh Indonesia ke atas komoditi itu.

“Eksport untuk Kesatuan Eropah pula susut sebanyak 18.1 peratus kepada 0.97 juta tan berikutan pelaksanaan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu (RED II) bagi penggunaan biodisel,” katanya.

Ahmad Parveez berkata, penutupan sempadan yang mengehadkan pergerakan orang ramai, turut memburukkan lagi isu kekurangan tenaga kerja bagi sektor minyak sawit yang susut sebanyak 6.6 peratus bagi tempoh April 2020 hingga Jun 2021.

“Kekurangan tenaga kerja itu menyebabkan pengeluaran TBS berkurangan sebanyak 3.8 peratus bagi tempoh itu,” katanya.

-BERNAMA

kredit foto: Syifa Yulinnas/Antara Foto

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: