Perhalusi keputusan beralih ke fasa endemik
Pandemik COVID-19 menghantui penduduk dunia untuk tempoh lama dan Malaysia sehingga kini merekodkan lebih 1.8 juta kes positif dan lebih 18,000 kematian.
Pelbagai langkah diambil kerajaan untuk membendung penularan, termasuk pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai panduan peralihan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa. la membolehkan rakyat membuat perancangan sejajar langkah kerajaan melawan COVID-19 dan memulihkan negara.
Beberapa negeri kini sudah pun beralih ke fasa dua dan tiga PPN dengan beberapa sektor ekonomi mula beroperasi.
Terkini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan negara dijangka memasuki fasa endemik COVID-19 pada penghujung Oktober, selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.
Bersediakah kita untuk ‘hidup’ bersama virus yang meragut lebih 18,000 nyawa di negara ini? Endemik ditakrifkan sebagai kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau tempat tinggal, namun orang ramai sudah menyesuaikan diri dan belajar hidup dengannya.
Penyakit ini dijangka sentiasa ada, namun pada kadar stabil dan rendah. Beberapa pakar kesihatan menyifatkan apabila COVID-19 mencapai tahap endemik, tidak bererti virus terbabit semakin lemah, namun manusia semakin kuat menentangnya kerana sistem imun kita lebih kebal dengan pengambilan vaksin dibekalkan.
Namun, kenyataan Doktor Keluarga dan Pengarah Banyan Clinic, Dr Elly Sabrina Ismail perlu diambil kira bahawa terdapat kemungkinan untuk virus merebak di luar jangkaan serta menjadi epidemik jika tidak dikawal.
Justeru, usaha pemberian vaksin kepada seluruh rakyat perlu terus diperhebatkan bagi memperkukuh sistem daya tahan badan daripada dijangkiti COVID-19. Saluran maklumat juga perlu diperkasa, selain membantu memberikan bantuan berbentuk kewangan kepada rakyat bagi melawan serta mencegah penularan COVID-19 ini ketika fasa endemik.
Kerajaan juga harus mempelajari modus operandi daripada negara luar untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi fasa endemik.
Perlu diingat, beberapa negara sudah mengambil pendekatan melonggarkan terus SOP, namun selepas wujudnya varian baharu mereka terpaksa memperkenalkan semula serta mengetatkan kembali SOP terbabit.
Justeru, kerajaan perlu memandang serius hal ini sebelum fasa endemik bermula pada penghujung Oktober nanti.
Sumber : Berita Harian