Gabungan aktivis alam sekitar gesa tarik semula nyahwarta HSKLU

SHAH ALAM: Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (GHSKLU) menggesa kerajaan Selangor menarik semula keputusan menyahwartakan 536.7ha HSKLU dengan serta-merta.

Jurucakap gabungan berkenaan, Shaq Koyok berkata, masih belum terlambat untuk menyelamatkan hutan yang masih ada dan beliau percaya tiada individu yang akan menentang keputusan “pusingan berkenaan.

Beliau yang juga aktivis alam sekitar Orang Asli berkata, kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan komunitinya dan pemegang taruh lain untuk melindungi HSKLU sebagai kawasan ekosistem penyimpanan karbon yang penting, selain sebagai mitigasi terhadap perubahan iklim.

“Budaya kami memerlukan hutan, sumber ubatan kami juga dari sana. Susah untuk kami menurunkan ilmu perubatan jika habitat kami dimusnahkan,” katanya kepada media di luar pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selepas menyerahkan memorandum dan penyerahan “Poskad Dari Esok” kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau mendakwa bantahan daripada komuniti Orang Asli terhadap kerajaan negeri dibalas dengan pelbagai ugutan termasuk rumah mereka dibakar dan tanah kampung sedia ada dirampas.

“Beberapa ketua kampung ditekan untuk menandatangani satu surat yang membuktikan mereka menarik sokongan sekiranya kampung mereka diwartakan semula sebagai rizab Orang Asli.

“Bagaimanapun ketua kampung dan komuniti Orang Asli masih meneruskan bantahan penyahwartaan hutan berkenaan sejak 18 bulan lalu”‘ katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan bahawa kerajaan negeri meluluskan penyahwartaan 536.7ha HSKLU pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun pengumuman berkenaan mengejutkan pelbagai pihak dan Presiden PKR Anwar lbrahim sendiri mengarahkan Amirudin memperjelaskan tindakan penyahwartaan HSKLU kepada pucuk pimpinan parti berkenaan.

Selain itu, kumpulan penyokong Anwar, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan itu. Setiausahanya, Abdul Razak lsmail berkata, kelulusan itu menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil serius bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO alam sekitar.

Sementara itu, seorang lagi wakil aktivis alam sekitar li Nadiah berkata, kerajaan negeri perlu berhenti mengeluarkan sebarang dakwaan palsu bagi menyokong tindakan penyahwartaan berkenaan.

Katanya, antara dakwaan palsu yang dibuat termasuk hutan simpan berkenaan sering terbakar; menyahwartakan dan membangunkan kawasan itu adalah langkah terbaik bagi membendung kebakaran dan komuniti Orang Asli menyokong penyahwartaan hutan tersebut.

Hakikatnya, beliau berkata, tiada kebakaran besar berlaku sejak lima tahun lalu. Nadiah mnenjelaskan, kebakaran besar hanya berlaku pada 2014 dan 2016 dan sebanyak 10,000 pokok ditanam semula yang sebahagiannya adalah dengan kerjasama antara penduduk Orang Asli dan Jabatan Perhutanan.

“Lebih 300ha tersebut yang terkesan dengan kebakaran semakin pulih dengan tumbuhnya semula pokok bersaiz sederhana dan tinggi” katanya.

Gabungan Pertahan HSKLU itu dianggotai 15 NGO termasuk Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera, Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam.

Sumber : FMT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: