Reformasi Parlimen, tingkat perwakilan Sabah, Sarawak, kata Madius

Bernama) KOTA KINABALU: Pengerusi Eksekutif Yayasan Wisdom, Wilfred Madius Tangau, menyeru kerajaan mereformasikan Parlimen dengan mempertimbangkan perspektif Sabah berdasarkan semangat pembentukan Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, walaupun Sabah negeri terbesar di negara ini selepas Sarawak dan memiliki sumber semula jadi yang banyak, namun rakyat negeri itu masih termiskin di Malaysia. “Sarawak merupakan negeri dengan keluasan tanah terbesar di Malaysia iaitu 124,450km, iikuti Sabah yang mempunyai keluasan 73,631 km.

“Hakikatnya, Sabah dan Sarawak merupakan tanah besar Malaysia, merangkumi 60% daripada keseluruhan tanah negara dan di samping itu, dua negeri ini sangat kaya dengan sumber semula jadi, namun rakyatnya terutamanya di Sabah, merupakan rakyat termiskin di Malaysia.

“Walaupun kita akan menyambut Hari Malaysia ke-58 pada 16 September ini, Sabah tetap menjadi negeri dengan kadar kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 25.3%, hampir dua kali ganda peratusan Sarawak iaitu 12.9% pada 2020 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Ini jelas menunjukkan ada keperluan penting untuk suara dan pengundian yang lebih besar daripada wakil rakyat dan senator dari Sabah dan Sarawak di Parlimen” katanya dalam kenyataan.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, pada 1963, Dewan Rakyat terdiri daripada 159 kerusi ketika Malaysia dibentuk iaitu 104 kerusi untuk Tanah Melayu, 16 kerusi Sabah, 24 kerusi untuk Sarawak, dan 15 kerusi untuk Singapura.

Katanya, berdasarkan pengaturan berkenaan, hanya 34% kerusi Parlimen mewakili kawasan pilihan raya dari luar Tanah Melayu dan ketika Singapura berpisah dari Malaysia, peratusan ini turun menjadi 25%.

“Hari ini, Dewan Rakyat terdiri daripada 222 kerusi iaitu 166 kerusi untuk Semenanjung Malaysia, 25 kerusi untuk Sabah, dan 31 kerusi untuk Sarawak.

“Malangnya, peratusan kerusi Parlimen yang bukan dari Semenanjung hanya kekal 25% di mana Sabah hanya memiliki 11% sementara Sarawak memiliki 14% saja,” katanya. Beliau berkata, Parlimen memerlukan banyak reformasi untuk mendapatkan kembali zaman kegemilangannya sebagai cabang perundangan yang bebas, namun kerajaan persekutuan mesti bertindak atas ketidakseimbangan ini dalam pembahagian kerusi antara negeri.

Katanya, Sabah dan Sarawak seharusnya menjadi rakan setara dengan Tanah Melayu, namun malangnya sejak awal lagi, jumlah kerusi selalu tidak dibahagikan secara sama rata dengan Tanah Melayu yang mempunyai 2/3 daripada jumlah peruntukan kerusi Parlimen.

“Oleh itu, untuk mendapatkan kembali status rakan setara kita, apa yang boleh dilakukan sekarang ialah meningkatkan jumlah perwakilan rakyat Sabah dan Sarawak di senat dari sembilan hingga 24 anggota, iaitu sebanyak 15 senator tambahan dari Sabah dan Sarawak perlu dilantik.

Sumber : FMT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: