Berita | KKM sokong dekriminalisasi cubaan bunuh diri, kata KP kesihatan

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian kesihatan menyokong usaha pindaan atau pemansuhan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah, sebagai satu lagi langkah menangani isu bunuh diri dalam negara.

“Pelaksanaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri akan menjadi anjakan dalam usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia.

“Ini akan menggalakkan mereka yang terkesan untuk tampil dan mendapatkan bantuan seawal mungkin,” katanya dalam sebuah kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Noor Hisham berkata selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, kerajaan sedang mempergiatkan sesi libat urus (engagement) dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam usaha “whole-of-government” dan “whole-of-society” untuk menangani isu tingkah laku bunuh diri.

“Faktor-faktor sosial yang menyebabkan stres yang terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.”

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengambil tahu dengan keadaan keluarga, orang sekeliling dan sahabat handai.

“Berikan sokongan dan dorongan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.

“Elakkan penularan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri ke media sosial,” tambahnya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019.

Sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143% atau 1.4 kali lebih banyak.

Menurut Noor Hisham, KKM komited dalam menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk bersama mengambil bahagian dalam pelaksanaan pencegahan tingkah laku bunuh diri.

“Usaha-usaha ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri, menghapuskan stigma terhadap tingkah laku bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri.” – MALAYSIA NOW

kredit foto: Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: