Berita | Lelaki mengaku salah lempar tulang babi di masjid
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 57 tahun didapati bersalah kerana melemparkan tulang babi mentah ke arah balkoni sebuah masjid tanpa menghiraukan jemaah yang melihat kelakuannya.
Warga Singapura, Lim Beng Wei, mengaku bersalah semalam atas tuduhan mengganggu orang ramai.
Dia menghadapi dua lagi tuduhan mengganggu orang ramai iaitu melemparkan satu lagi tulang babi dan satu lagi kerana mencampak mentega ke arah bumbung Muzium Kotak Muzik Singapura di 168 Telok Ayer Street.
Hukuman bagi kesalahan kedua dan ketiga akan ditentukan semasa mahkamah membuat keputusan nanti.
Dokumen mahkamah menyatakan, Beng Wei membeli dua tulang babi mentah, antara lain, dari sebuah pasar raya di Tanjong Pagar pada pagi 14 Januari.
Dia menuju ke Masjid Al-Abrar, yang terletak di 192 Telok Ayer Street, dengan tujuan melemparkan tulang itu ke arah masjid berkenaan.
Apabila tiba di bangunan itu, dia mengeluarkan salah satu tulang dari bungkusannya dan melemparkannya ke arah balkoni tingkat dua masjid itu.
Mahkamah diberitahu tindakannya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) bangunan itu.
Rakaman CCTV itu kemudian dilihat oleh pegawai polis, yang sedang menyiasat panggilan mendakwa ada orang merosakkan premis Muzium Kotak Muzik Singapura, yang terletak berhampiran masjid itu.
Menurut laporan Dr Yap Lee Shen dari Institut Kesihatan Mental, Beng Wei mengalami penyakit skizofrenia paranoid ketika melakukan kesalahan itu.
“Dia pertama kali disahkan menghidap keadaan mental itu pada 1998, dan dinilai mengalami masalah sama pada 2011 dan 2018,” katanya.
Simptom psikotik itu menyumbang kepada kelakuan kesalahan itu, kata laporan berkenaan.
Beng Wei juga mengaku tidak mematuhi arahan pengambilan ubat sepenuhnya pada waktu itu.
Tetapi Dr Lee Shen berkata lelaki itu bukannya tidak waras pada waktu melakukan kesalahan, sebaliknya dia sedar mengenai ‘perbuatan dan kesan akibat tindakannya’.
Mahkamah diberitahu Beng Wei melakukan kesalahan lain sebelum itu termasuk perbuatan nakal dan kali terakhir dihukum pada 2019 dengan perintah rawatan mandatori (MTO) selama dua tahun.
Hukuman itu adalah bagi kesalahan memecahkan kaca di beberapa lif, menurut laporan sebelum ini oleh akhbar bahasa Cina, Lianhe Wanbao.
Pesalah yang diberi MTO akan menjalani rawatan bagi keadaan mental mereka sebagai pengganti masa penjara.
Semalam, Hakim Daerah Kessler Soh, meminta laporan yang menilai kesesuaian Beng Wei untuk satu lagi MTO dan dijangka dihukum pada 13 Oktober.
Bagi kesalahan mengganggu orang awam, dia boleh dipenjara selama tiga bulan, atau denda hingga SGD$2,000 (RM6,180) atau kedua-duanya. – AGENSI