Berita | Pemain industri pelancongan Lembah Klang sudah bersedia – MAH

Kuala Lumpur: Pemain industri pelancongan di Lembah Klang sudah bersiap sedia menerima pengunjung dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, pematuhan SOP menjadi prinsip panduan utama industri itu demi memastikan hotel bukan saja selamat untuk penginapan, malah tempat makan dan penganjuran acara.

“Kami percaya ini masa yang tepat (hotel dibuka) kerana beberapa petunjuk menunjukkan tahap kesediaan yang baik untuk Lembah Klang.

“Hotel-hotel juga sudah bersiap sedia sejak awal dengan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP yang tinggi untuk meminimumkan risiko jangkitan kakitangan dan pengunjung.

“Sebagai sebahagian daripada persijilan kebersihan dan kesihatan ‘Clean & Safe Malaysia’ MAH, kami mementingkan SOP ketat di kawasan hotel termasuk rancangan kontigensi dan pengasingan jika ada kes dikesan,” katanya.

Dari segi sambutan, katanya, masih kurang memberangsangkan berikutan orang ramai lebih menantikan kebenaran merentas negeri yang akan menjadi kunci kerancakan pembukaan semula pelancongan domestik.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Hotel Sunway City Kuala Lumpur, Alex Castaldi berkata, pengumuman kebenaran aktiviti pelancongan di Lembah Klang satu perkembangan yang baik untuk sektor hospitaliti.

“Sejak pengumuman itu, kami menerima banyak pertanyaan tentang tempahan yang menunjukkan rakyat Malaysia sudah bersedia dan tidak sabar untuk bercuti walaupun hanya melancong dalam negeri sama.

“Kakitangan hotel juga sudah bersedia dan lengkap vaksin serta berpengalaman melayani pengunjung dengan mematuhi SOP ketat menerusi program Sunway Safe Stay,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Impiana KLCC, David Xavier berkata, semua pihak perlu menyesuaikan diri dalam keadaan normal baharu supaya ekonomi negara terutama bidang perhotelan memainkan peranan membantu memulihkan ekonomi negara.

“Di peringkat kami, persiapan awal sudah dilakukan untuk menerima pengunjung hotel antaranya pensanitasi seluruh kawasan hotel.

“Bukan saja di pintu utama, malah di setiap bahagian kami menyediakan SOP berdasarkan garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk pemeriksaan suhu dan imbasan kod QR MySejahtera.

“Setakat ini, kami menerima banyak pertanyaan untuk tempahan, namun kami masih menunggu kebenaran memandangkan hotel ini menjadi Pusat Kuarantin bagi mereka yang balik dari luar negara,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa hari ini.

Kelonggaran itu membolehkan individu yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan merentas daerah dan melancong dalam negeri berkenaan. – HARIAN METRO

oleh Mahaizura Abd Malik

credit photo: Sunway

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: