Berita | Ziyad tekad rampas semula status pemegang rekod dunia
KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tekad untuk kembali merampas status sebagai pemegang rekod dunia acara itu selepas penyertaannya dan rekod dunia yang dilakukannya di Sukan Paralimpik 2020, bulan lalu tidak diiktiraf.
Atlet berusia 31 tahun itu berkata Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun pada 26 Ogos hingga 4 September 2022 akan menjadi medan terbaik untuk dia kembali meletakkan namanya sebagai pemegang rekod dunia.
Kali ini, dia bertekad untuk melakukan balingan sejauh 18 meter (m) sekali gus mencipta rekod baharu dunia.
“Saya sudah berjanji dalam diri, saya akan rampas semula status sebagai pemegang rekod dunia tahun depan. Apa yang berlaku di Tokyo menjadi pengajaran berguna buat saya namun ia idak akan membuatkan saya berputus asa.
“Sebaliknya, saya kini lebih bersemangat dan saya akan terus bekerja keras bagi meningkatkan lagi prestasi untuk saya merealisasikan impiannya itu,” katanya.
Ziyad terlepas emas dan rekod dunia yang dilakukannya dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya di Tokyo diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Atlet Ukraine, Maksym Koval memenangi emas dan balingannya sejauh 17.34m diiktiraf sebagai rekod dunia yang baharu mengatasi rekod Ziyad dengan catatan 17.29m ketika Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London. – BH ONLINE
oleh Helmi Talkah
kredit foto: Bernama