Berita | Bekas pegawai tadbir MPOB didenda RM5,000 terima rasuah
IPOH: Seorang bekas pegawai tadbir Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memperoleh suapan daripada seorang individu berkaitan urus niaga kelapa sawit tanpa lesen, Oktober tahun lepas.
Hakim S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu terhadap Selamat Mulyono Juni, 37, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah berdasarkan tuduhan pilihan yang dikemukakan ketika sebutan semula kes itu hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda itu. Selamat Mulyono membayar denda tersebut.
Perbuatan itu sebagai dorongan kononnya agar pihak penguatkuasaan MPOB tidak akan mengambil sebarang tindakan kepada Shafrullah atas kesalahan syarikatnya iaitu Khaffa Vision Enterprise yang menjalankan urus niaga buah kelapa sawit setelah lesen perniagaan Dealer Fruit (DF) MPOB tamat tempoh.
Selamat Mulyono didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Parit Buntar pada 6.35 petang 20 Oktober tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pada 9 Mac lepas, Selamat Mulyono turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu meminta suapan RM6,000 daripada lelaki yang sama sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti gambar siasatan berhubung kesalahan urus niaga tersebut.
Bagaimanapun, pertuduhan itu telah diputuskan sebagai ‘take into consideration’ oleh pihak mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Siti Salwani Md Shah. – BERNAMA
kredit foto: Utusan