Berita | ASEAN perlu segera laksana inisiatif ACRF
PUTRAJAYA: Malaysia berpendirian ASEAN perlu mempercepatkan pelaksanaan semua inisiatif di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) untuk memacu semula ekonomi dan merancakkan pemulihan serantau susulan penularan pandemik COVID-19.
Pendirian itu disuarakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berharap ASEAN perlu berusaha ke arah tekad luar biasa bagi mengatasi cabaran pandemik, sekali gus membantu rantau ini kembali ‘kuat’ dan berdaya saing.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Mohamed Azmin menyarankan ASEAN memuktamadkan Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Satu Transformasi Digital ASEAN untuk Mempercepatkan Pemulihan Eeonomi ASEAN dan Integrasi Ekonomi Digital (BSBR) yang akan menawarkan rancangan membangunkan persekitaran.
“Ia akan memantapkan Ekonomi Digital ASEAN dan memastikan rantau ini muncul lebih kuat daripada pandemik ini.
“Dalam menyokong agenda ini dan menggesa kepada pelaksanaan yang pantas, sekarang adalah masa yang tepat untuk menangani keperluan mendesak dan jangka pendek proses transformasi digital di rantau ini,” kata MITI dalam kenyataan hari ini.
MITI berkata, pendirian Malaysia itu dikongsikan Mohamed Azmin ketika menyertai Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 yang dijalankan secara maya pada 8 dan 9 September lalu.
Pada mesyuarat itu juga, Menteri Ekonomi ASEAN mengesahkan Kerangka untuk Ekonomi Kitaran bagi Komuniti Ekonomi ASEAN dalam memperakui kepentingan agenda ekonomi mampan yang lebih maju.
Mesyuarat itu turut memperakui senarai lebih besar barangan keperluan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan Langkah-langkah Bukan Tarif pada Barangan Penting yang ditandatangani pada November 2020, untuk memastikan aliran tidak terhenti barangan terbabit dalam rantau ini.
MITI berkata, Mohamed Azmin menegaskan Malaysia komited menggabungkan elemen ekonomi digital yang komprehensif dalam formasi dan kerjasama perdagangan antarabangsa bagi mewujudkan suasana perdagangan digital dengan kestabilan ditambah baik, rendah risiko dan kos pematuhan yang dikurangkan.
“Inisiatif ini melengkapi MyDIGITAL dibangunkan di Malaysia, yang menggariskan strategi memacu pertumbuhan ekonomi digital dan merapatkan jurang digital serta untuk mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi didorong secara digital dan berasaskan teknologi,” kata Mohamed Azmin.
MITI berkata, Mohamed Azmin turut menekankan faktor Alam Sekitar Sosial dan Tadbir urus (ESG) adalah intivpati kepada elemen utama Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan penting untuk mencipta nilai jangka panjang, mengintegrasikan perniagaan serantau ke peringkat rangkaian antarabangsa dan menarik lebih banyak pelabur.
“Dalam keadaan ini, Menteri Kanan mencadangkan konsep Karbon Berkecuali untuk ASEAN dan meneroka perbincangan mengenai pelaburan peluang dalam Ekonomi Hijau yang diterima baik sesama Menteri dan disokong Pengerusi AEM, Datuk Dr Amin Liew Abdullah.
“Melangkah ke hadapan, Pengerusi Sekretariat ASEAN, Lim Jock Hoi, turut menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memajukan inisiatif ini dan mempertingkatkan komitmen ke arah kelestarian dan teknologi hijau,” kata MITI lagi. – BH ONLINE
oleh Rafidah Mat Ruzki
kredit foto: The Malaysian Reserve