Berita | Tawaran transformasi satu permulaan yang baik – PH

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengumuman kerajaan semalam, untuk melaksanakan penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran sebagai satu permulaan baik susulan daripada pertemuannya dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 25 Ogos lalu.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang, berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhubung tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak serta membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, PH sebelum ini turut mengusulkan peruntukan segera tambahan RM45 bilion bagi meringankan beban hidup rakyat.

“Keutamaan PH semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank untuk golongan M40 dan B40 serta kebebasan institusi kehakiman,” katanya.

Menyentuh isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar berkata, PH melihat masih wujud keperluan ia diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini.

Katanya, ia berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu, bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri sudah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.

“Wajar ditegaskan tuntutan supaya pembangkang diberi layanan setimpal dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak Eksekutif.

“Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat,” katanya.

Ismail Sabri dalam kenyataannya semalam, mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Tawaran dan komitmen kerajaan itu, katanya, selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Selain Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, tawaran lain adalah pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat dengan satu RUU Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

Tawaran lain, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

Turut ditawarkan, setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan serta Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri. – BH ONLINE

oleh Mohd Nasaruddin Parzi

kredit foto: BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: