Berita | Ubah klasifikasi, elak industri penganjuran acara perniagaan rugi
KUALA LUMPUR: Industri penganjuran acara perniagaan (BE) perlu diklasifikasikan semula supaya tidak termasuk dalam kategori aktiviti sosial.
Pengerusi Majlis Anggota Penasihat Persidangan dan Pameran (MAC) Asia Pasifik, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata langkah sedemikian perlu dibuat dengan segera bagi memberi laluan untuk industri BE kembali pulih pada pasca pandemik COVID-19.
Katanya, pemulihan industri BE juga bakal mencetuskan kesan ‘domino’ ke arah menjamin dan membantu meletakkan ekonomi Malaysia ke landasan sebenar.
“Industri BE perlu kekal hidup, justeru langkah untuk meneliti klasifikasi industri ini wajar dibuat sekarang dan ia tidak boleh dikategorikan sebagai aktiviti sosial.
“Kita tidak boleh berdepan kerugian lagi, menjangkau RM4.05 bilion, apatah lagi dengan risiko kadar pengangguran yang semakin meruncing, sementara menunggu peralihan ke fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Irmohizam berkata kerajaan sewajarnya mengetengahkan peruntukan khas yang memberi penekanan kepada kelangsungan perniagaan dan langkah pengukuhan ekonomi, susulan pandemik COVID-19.
Selain itu, katanya, segenap keperluan asas yang dikemukakan penggiat industri harus cuba dipenuhi memandangkan industri BE mempunyai kemampuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi domestik dan merancakkan aliran perbelanjaan.
“Oleh itu, adakan lebih banyak libat urus dengan penggiat industri BE. Kita percaya bahawa sekiranya prosedur operasi standard (SOP) berupaya dipatuhi, pemulihan ekonomi dapat dirangsang.
“Selari matlamat mencapai imuniti kelompok dalam kalangan individu dewasa menjelang bulan ini, kerajaan diminta untuk mempertimbangkan kelonggaran kepada industri BE.
“Ini bagi memastikan industri BE dapat kembali pulih secepat mungkin dan membantu memacu ekonomi Malaysia,” katanya. – BH ONLINE
oleh Luqman Arif Abdul Karim
kredit foto: Business Today