Berita | Tawaran Ismail strategi untuk lulus Bajet 2022, kata penganalisis
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat tawaran Ismail Sabri Yaakob untuk menambahbaik Parlimen dan pentadbiran kerajaan sebagai satu strategi untuk meluluskan Bajet 2022 yang akan dibentangkan bulan depan.
Mempersoalkan keikhlasan tawaran Ismail itu, Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia berkata, ia juga boleh ditafsirkan sebagai “umpan” untuk mendapatkan pandangan sama ada Ahli Parlimen pembangkang akan menyokong atau tidak usul undi percaya jika ia dibawa ke Parlimen.
“Dalam keadaan seorang perdana menteri goyang, kedudukan jawatan tidak stabil dan majoriti diragui, maka cubaan cadangan / usul itu dilihat semata-mata permainan politik untuk luluskan bekalan (Belanjawan 2022) dan lebih penting untuk mengekalkan kedudukannya dengan majoriti yang diragui dan tidak jelas.
“Sekaligus, jika ada persetujuan, maka secara langsung itulah akan dilihat sebagai undi percaya kepada kepimpinan PM,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas mengenai tujuh tawaran oleh kerajaan semalam berhubung transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Tawaran berkenaan termasuk mempersetujui melakukan beberapa transformasi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, Rang Undang-undang Antilompat Parti, pelaksanaan Undi18, dan keseimbangan keanggotaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan perdana menteri berhubung ikhtiar kerajaan untuk menambahbaik Parlimen dan pentadbiran kerajaan, di sebalik keperluan mengadakan undi percaya terhadap beliau “secepat mungkin”.
Beliau menegaskan sebarang kenyataan Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong tawaran Ismail itu tidak boleh dianggap rasmi selagi ia tidak diluahkan di Dewan Rakyat.
“Apa yang MP (Ahli Parlimen) kata di luar Parlimen tidak boleh dipegang, kerana mereka tidak terikat kepada pendirian itu dan boleh mengubah keputusan mereka sesuai dengan keadaan semasa, suatu rang itu (undi percaya) diusulkan di dewan,” katanya sambil menambah, Umno sudah pasti tidak akan menggagalkan tawaran Ismail berkenaan.
“Umno sudah pasti akan sokong kerana PM adalah dari Umno. Jika Umno tidak menyokong, siapa lagi diharapkan akan berbuat demikian?” katanya.
Mengulas mengenai tujuh tawaran Ismail berkenaan, beliau percaya sekiranya penambahbaikan itu dibuat oleh seorang pemimpin yang kuat dan cukup majoriti di dalam Parlimen, sebahagian cadangan berkenaan akan diterima dengan baik oleh semua wakil rakyat.
“Jika rang dan usul ini dibuat oleh seorang pemimpin yang kuat, cukup majoriti dalam Parlimen dan tidak perlu melakukannya kerana kedudukannya yang goyang, maka sebahagian usul itu memang akan disambut baik,” katanya. – FMT
kredit foto: Berita Harian