Buahfikir | Roti, sebuku makanan yang politikal

Dikatakan Revolusi Perancis semakin memuncak ketika khabar “kalau tak punya roti, biarkan mereka makan kek” yang diucapkan permaisuri Raja Louis XVI, Marie Antoinette tersebar di telinga rakyat Perancis. Lalu tersemat di hati menjadi dendam revolusi.

Ketika Perancis dilanda kelaparan akibat krisis kewangan, Marie sibuk melayan kehendak material. Wang negara dihabiskan untuk kepentingan peribadi. Dendam kemudiannya jadi gerakan massa. 1789, revolusi pun berlaku. Dengan roti, sebuah empayar pun boleh jatuh. Dengan roti, Paris mulakan sejarah sebagai kota kebebasan.

Roti dan kuasa politik bukan milik barat saja. Di sini, 232 tahun selepas Revolusi Perancis, roti juga ada ceritanya. Masih ingat lagi tak ketika zaman Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri? Ketika PM-9 ini teraju Malaysia, negara ini dalam keadaan darurat, dari segi kesihatan dan ekonomi akibat wabak. Tentu cabarannya luar biasa.

Ketika itu, PM-7, Najib Razak yang juga rakan sekutu dalam kerajaan PN mendesak dan menuduh kerajaan PN gagal menyebabkan Malaysia jadi lebih sukar dengan ketakstabilan politik. Mengkritik dan troll bagaikan anak baru dapat gajet menjadikan Najib Razak dan sekutunya lebih pembangkang dari pembangkang.

Sudahnya, PM-9 pun letak jawatan dan memberi laluan kepada parti Najib Razak, UMNO untuk menjawat jawatan Perdana Menteri. Maka, naiklah Ismail Sabri sebagai PM-10. Baiklah, mana kisah rotinya?

Kisah rotinya bermula apabila UMNO mendapat jawatan Perdana Menteri. Najib Razak terus berubah. Tidak ada lagi status kerajaan gagal, turunkan Perdana Menteri dan segala macam sembang demi negara. Content media sosialnya mula kelihatan lunak dan sedap, misalnya roti gardenia pandan viral. Iya, akhirnya setelah UMNO berkuasa semula, Najib Razak mula menjadi duta roti, viral!

Namun, cerita roti dan kuasa tidak selalunya gelap. Seorang kawan dari Ampang ada cerita, ketika Malaysia dilanggar Covid-19, orang ramai kucar-kacir tidak tahu bagaimana berhadapan dengan norma baharu. ‘Panic buying’ ketika fasa 1 menyebabkan banyak keperluan asas putus bekalan, antaranya roti!

Kata kawan itu, carilah seluruh Ampang, sekeping roti pun tak jumpa. Roti ketika itu jadi barang ‘rare’. Kalau ada yang tawarkan harga tiga kali ganda sekalipun, ramai yang sanggup. Namun apakan daya, bekalannya putus.

Bagi yang ramai anak dan bujang, putus bekalan roti di kala perintah berkurung adalah azab. Roti bukan lagi jadi masalah biasa, tapi masalah masyarakat yang perlu diuruskan dengan tuntas demi kelangsungan hidup berhadapan dengan wabak.

Pantas sedar dengan keadaan, Zuraida Kamaruddin yang juga ahli parlimen Ampang ambil tindakan bijak buat orang Ampang. Pejabat Parlimen Ampang telah berurusan terus dengan kilang roti Massimo untuk memastikan bekalan roti di Ampang cukup buat penduduknya. Malahan ramai penduduk Ampang menerima bekalan makanan seperti roti dari pejabat parlimen.

Tentu tindakan ini nampak ‘simple’, tapi sangat bermakna hinggakan lebih ramai orang Ampang tanpa mengira parti politik merasakan lebih dekat dengan pejabat parlimen Ampang dan kenal Zuraida Kamaruddin. Begitulah roti, sebuku makanan yang politikal.- PPI

oleh Ahmad Roi

kredit gambar: Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: