Berita | 20 cadangan transformasi parlimen mesti libatkan 30 peratus wanita
PUTRAJAYA, 13 SEPT : Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menyambut baik dan mengalu-alukan 20 cadangan transformasi parlimen yang dikemukakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad bin Maslan dua hari lalu.
Bagaimanapun, Zuraida menjelaskan dalam satu kenyataan hari ini, transformasi berkenaan mestilah melibatkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai penggubal dasar dan pembuat keputusan.
Sasaran ini, katanya, adalah amat wajar memandangkan hala tuju dasar negara adalah untuk mengarusperdanakan peranan wanita dalam urus tadbir dan merapatkan jurang gender dalam pentadbiran.
Jelas Zuraida, ia termasuklah dalam urusan melantik Timbalan Speaker dan Program Belia dan Siswazah.
“Cadangan untuk melantik tiga Timbalan Speaker haruslah merangkumi seorang wanita sebagai Timbalan Speaker, baik dari Sabah atau Sarawak atau Semenanjung.
“Ahli Parlimen Pontian juga telah mencadangkan dan mendorong penyertaan wanita dalam Program Belia dan Siswazah. Sasaran 30 peratus wanita dalam program ini mesti diwajibkan.
“Wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara dan peranan 30 peratus wanita ini tidak boleh diabaikan untuk membawa negara ke arah status yang kita ingini,” katanya.
Ahli Parlimen Ampang itu menambah, beliau turut bersetuju agar Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Orders) dikemaskini untuk mengelakkan kenyataan dan jenaka seksis semasa sidang Dewan Rakyat.
“..Adalah perlu supaya Ahli-Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan dan jenaka berunsur seksis serta menyinggung perasaan dikenakan pergantungan segera, denda dan hukuman yang sewajarnya,” katanya. – PPI