Berita | Langkawi mampu lonjak semula pelancongan domestik, kata MAHB

PETALING JAYA: Walaupun berdepan kerugian besar akibat Covid-19, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yakin ada sinar baharu susulan pembukaan semula Langkawi bagi menggalakkan gelembung hijau dalam sektor pelancongan domestik.

Sambil mengakui industri penerbangan antara paling teruk terjejas kesan daripada wabak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata beliau teruja dengan laporan Langkawi akan dibuka semula bagi pengunjung yang lengkap divaksin, bermula Khamis ini.

“Kami melihat ada sinar di hujung terowong, terutamanya dengan pembukaan semula pelancongan domestik,” katanya dalam sidang media.

“Dengan Langkawi menjadi destinasi pertama gelembung hijau pelancongan domestik, kami yakin pada masa depan operasi di lapangan terbang akan beroperasi semula sepenuhnya,” katanya.

Menteri Pelancongan Nancy Shukri, pada minggu lalu, berkata Langkawi akan dibuka kepada pengunjung lengkap divaksin dari semua negeri, termasuk negeri yang masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam pengumumannya itu, pengunjung yang masuk dari darat diwajibkan menggunakan khidmat ejen pelancongan, manakala tiada sekatan sama bagi pengunjung yang masuk melalui udara.

Menggambarkan 2020 sebagai “tahun mencabar” kesan daripada sekatan perjalanan dan penutupan sempadan, Shukrie berkata, pendapatan MAHB merosot daripada RM5.2 bilion pada 2019 kepada RM1.9 bilion tahun lalu.

Dilaporkan, kerugian mencapai RM1.1 bilion pada 2020, berbanding keuntungan bersih, RM537 juta pada 2019.

Beliau berkata, MAHB sedaya upaya menggunakan kaedah terbaik untuk keluar daripada kesan wabak, dengan meningkatkan piawaian operasi dan fasiliti, termasuk menaiktaraf dan mempercepat pelan seperti penggantian aset kritikal dan melaksanakan inisiatif penetapan semula komersial.

Hadir sama dalam sidang media itu, Pengerusi MAHB Zambry Abd Kadir, yang mana menjangka industri penerbangan akan kembali pulih daripada kesan wabak “tahun hadapan” susulan kelonggaran sekatan perjalanan.

Zambry berkata, beliau kagum dengan ketahanan MAHB ketika berdepan wabak, merujuk kepada keampuhan kecairan, tahap pinjaman terurus dan kecekapan pendekatan pembedungan kos.

“Kami menantikan pemulihan semula industri penerbangan secara beransur-ansur dan kami yakin kita semua kembali kuat daripada sebelumnya,” katanya. – FMT

oleh Jason Thomas

credit photo: Bloomberg

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: