Berita | Polis, orang awam cekup suspek pecah rumah
Kluang: Tindakan pantas polis dan orang awam berjaya memberkas dua penjenayah yang cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah kediaman dua tingkat di Impian Bayu Taman Seri Impian, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Lim Chek Chai, 61, menerima panggilan daripada jirannya memaklumkan ada dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di bumbung rumah milik anaknya.
Lim berkata, jirannya itu bertanyakan sama ada dia ada memanggil sesiapa untuk membaiki rumah itu, namun dia menafikannya sebelum menghubungi polis berhubung kejadian itu.
“Rumah itu milik anak saya yang bekerja di Singapura dan saya selalu datang ke sini membersihkannya. Saya bergegas ke rumah itu dari Simpang Renggam selepas dihubungi jiran mengenai kehadiran dua penjenayah itu.
“Sebaik tiba, polis yang sudah ada di lokasi itu memberitahu penjenayah terbabit masih di dalam rumah, saya bertindak membuka pintu utama dan melihat suspek memegang kayu kemudian meluru ke arah saya.
“Dua lelaki itu merempuh saya dan melarikan diri sebelum dikejar polis dan orang ramai yang kemudian berjaya menangkap mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, suspek dipercayai menyelinap masuk melalui bumbung rumah jirannya yang tidak berpenghuni sebelum memecahkan siling di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek warga tempatan berusia 30-an mempunyai rekod jenayah lampau dan didapati positif dadah methamphetamine hasil ujian saringan air kencing.
“Lebih kurang 11.55 pagi, anggota Unit Peronda (MPV) Zon 2 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima arahan daripada Pusat Kawalan Daerah Kluang memaklumkan aduan pecah rumah di Taman Seri Impian.
“Bertindak atas aduan, pada 12.15, anggota MPV dengan bantuan orang awam berjaya menahan dua lelaki tempatan, selain merampas sebuah motosikal Yamaha Ego, dua pemutar skru, dua pemotong dawai dan tangga boleh laras,” katanya.
Katanya, suspek direman hingga Khamis ini dan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – HARIAN METRO
oleh Mohamad Fahd Rahmat
kredit foto: The Star