Buahfikir | Covid-19 & kepimpinan wanita 30 peratus
Saya masih ingat kata seorang peguam, aktivis dan juga perempuan, Datuk Dr. Kamilia Ibrahim tentang pembinaan bangsa abad ke-21. Katanya, wanita di negara Malaysia sebenarnya sudah berada dalam semua peringkat pembinaan negara bangsa termasuk dalam hal pembangunan institusi kekeluargaan.
Beranggapan membangunkan negara bangsa adalah kerja usaha lelaki adalah silap. Pembabitan wanita dalam politik turut disifatkannya sebagai sesuatu yang sangat menuntut terutama membabitkan aspek kewangan dan masa.
Wabak Covid-19 juga telah membuktikan kepimpinan wanita dalam berhadapan dengan darurat dan kecemasan. Ramai pemimpin wanita menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam usaha membendung penularan wabak yang telah membunuh lebih 260,000 orang di seluruh dunia setakat ini.
Antara pemimpin wanita yang mendapat perhatian dunia ialah Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. Ekoran wabak Covid-19 yang melanda New Zealand saat ini, Ardern telah mengambil langkah awal dengan menutup kawasan sempadan dan melarang kemasukan warga asing bermula 19 Mac lalu.
Selain itu, beliau juga menguatkuasakan perintah kawalan ‘lockdown’ selama empat minggu bermula 23 Mac. Hal ini juga telah memaksa penutupan perniagaan ‘non essential’. Di samping itu, Ardern turut mengarahkan proses saringan besar-besaran bagi mengenalpasti sesiapa yang didapati positif wabak tersebut. Difahamkan, terdapat rekod sebanyak 1,300 kes yang dilaporkan susulan pengesanan itu.
Perdana Menteri Finland, Sanna Marin turut menonjolkan prestasi baik dalam usahanya melawan Covid-19 membuktikan kemampuan wanita ini tidak boleh diragui. Finland mempunyai peraturan penjarakan sosial yang ketat dan rakyat komited dalam memastikan kadar jangkitan kekal pada tahap yang rendah. Selain itu, kerajaan Finland juga memutuskan untuk melanjutkan larangan acara besar melebihi 500 orang sehingga akhir bulan Julai.
Tidak hanya itu, ramai lagi pemimpin wanita menunjukkan kebolehan mentadbir ketika wabak mengganas seperti Katrín Jakobsdóttir (Perdana Menteri Iceland), Tsai Ing-wen, (Presiden Taiwan) dan Angela Merkel (Canselor Jerman).
Sudah tentu kecemerlangan kepimpinan wanita serata dunia ini mempunyai prosesnya. Kepimpinan wanita tidak datang secara tiba-tiba memandangkan tema politik, kuasa, negara dan kerajaan lebih didomonasi oleh lelaki berbanding perempuan.
Jadi, saya melihat penekanan Menteri KPPK, Zuraida Kamaruddin yang menekankan tranformasi politik yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan dalam sidang parlimen hari ini mestilah melibatkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai penggubal dasar dan pembuat keputusan mempunyai asas kukuh dalam usaha membangunkan kepimpinan wanita.
Hujahnya, penglibatan wanita 30 peratus sangat wajar memandangkan hala tuju dasar negara adalah untuk mengarusperdanakan peranan wanita dalam urus tadbir dan merapatkan jurang gender dalam pentadbiran. Ini termasuklah dalam urusan melantik Timbalan Speaker dan Program Belia dan Siswazah.
Cadangan ini tepat. Jika kita bercakap tentang tranformasi dan perubahan, ketimpangan gender dalam membuat keputusan ini perlu kita perhatikan dulu agar bakat kepimpinan wanita kita tidak disiakan. – PPI
oleh Aman Ahmad
kredit foto: wilpf.org