Berita | ECRL bukan alasan nyahwarta sebahagian HSKLU, MB Selangor diberitahu
PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pro-Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Selangor memberikan butiran mengenai rancangannya mengekalkan sebahagian kecil Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sebagai kawasan diwartakan untuk projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, kerajaan negeri perlu jelas mengenai laluan ECRL dan apa yang akan dilakukan dengan kawasan dinyahwartakan itu, jika projek terbabit tidak melalui hutan simpan berkenaan.
Kenyataannya menyusul pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjelaskan kereta api itu tidak akan melintasi Kuala Langat.
Malaysiakini memetik MRL sebagai berkata, ECRL akan kembali kepada penjajaran asal yang akan menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah di utara Selangor.
Oleh itu, katanya, “tidak relevan” untuk menyahwartakan hutan simpan itu bagi ECRL.
Kenyataan MRL itu bertentangan langkah kerajaan negeri menyahwartakan sebahagian kecil HSKLU untuk projek ECRL.
Razak berkata, mereka tidak mahu mana-mana bahagian hutan itu dinyahwartakan dan ECRL melintasinya kerana ini akan memberi kesan buruk kepada flora, fauna serta merosakkan habitat semula jadi mereka.
Beliau memberi amaran kumpulannya dan NGO lain akan berjuang untuk melindungi HSKLU.
Minggu lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan kerajaan negeri menerbalikkan keputusan Mei lalu untuk menyahwartakan 536.7ha hutan simpan itu, selepas dikecam Ahli Parlimen dan NGO alam sekitar.
Bagaimanapun, Amirudin berkata, sebahagian kawasan akan kekal dinyahwartakan untuk laluan ECRL, tanpa menyatakan berapa besar kawasan itu. – FMT
oleh Samuel Chua
kredit foto: GreenPeace