Berita | Tolak diskriminasi jantina dalam hal warganegara, Malaysia ikut jejak negara Islam – Wanita PN Selangor
KLANG, 14 SEP : Wanita Perikatan Nasional (PN) Negeri Selangor menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang menolak diskriminasi berdasarkan jantina dalam hal pemberian kewarganegaraan.
Ketua Wanita PN Selangor, Dr. Daroyah Alwi berkata, keputusan itu menunjukkan Malaysia kini mengikuti jejak beberapa negara Islam lain seperti Mesir, Maghribi, Algeria dan Tunisia yang terlebih dulu memberi hak sama rata kepada kaum ibu.
“Sebelum ini, implikasi besar terpaksa ditanggung kaum wanita selaku ibu selain kanak-kanak itu sendiri yang bakal memberi kesan kepada institusi keluarga, terutamanya apabila berlaku penceraian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, keputusan itu jelas tidak melibatkan sebarang perubahan dasar kerana undang-undang sedia ada memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
“Malah secara langsung memberikan hak kaum ibu sama rata dengan hak kaum bapa seperti mana yang diterima secara universal,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September lalu memutuskan bayi yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.
Hakim Datuk Akhtar Tahir yang membuat keputusan itu menafsirkan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu, selaras Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Artikel 14 (1)(b).
Selain Wanita PN Selangor, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin turut menyambut baik keputusan mahkamah itu.
Beliau turut menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara segera merangka prosedur permohonan kewarganegaraan selaras keputusan baharu tersebut. – PPI
credit photo: TheLeaders