PN Klang wakili penduduk bantah projek ‘lenyapkan’ padang bola Taman Berkeley
KLANG, 14 SEP : Perikatan Nasional (PN) Klang bersama penduduk Taman Berkeley membantah cadangan ‘melenyapkan’ padang bola dan taman rekreasi bagi tujuan pembinaan projek komersil yang bakal dijalankan Majlis Perbandaran Klang di sini.
Sebagai wakil masyarakat yang peduli, Penyelaras PN Klang, Nallan Dhanabalan semalam menerima memorandum bantahan dari Jawatankuasa Sementara Penduduk Taman Berkeley untuk dibawa ke pihak berkepentingan agar projek tersebut tidak diteruskan.
Katanya, memorandum itu merupakan satu bantahan terhadap cadangan pembinaan 100 kotak parkir kereta dan gelanggang futsal di atas padang berkenaan.
“Padang tersebut yang selama ini menjadi nadi bagi penduduk sekitar Taman Berkeley untuk beriadah dan bersukan, terutama untuk golongan warga emas dan belia akan lenyap sekiranya cadangan pembinaan tersebut diteruskan,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebook, semalam.
Menurutnya, kawasan hijau seperti padang bola dan taman rekreasi berkenaan amat kritikal untuk dikekalkan dalam melaksanakan pembangunan lestari dan bandar rendah karbon selaras Draf Rancangan Tempatan MPK 2035.
“Pembangunan yang dicadangkan (itu) hanyalah akan mengehadkan lagi aktiviti kepada permainan futsal berbanding pelbagai aktiviti sukan dan riadah lain yang dapat dibuat sekarang,” katanya.
Nallan menjelaskan, PN Klang akan terus komited dalam membawa suara penduduk Taman Berkeley ke perhatian pihak berkepentingan agar padang itu dapat dikekalkan demi kesejahteraan penduduk dan sekitar.
Turut bersama beliau adalah Penyelaras PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang, Datuk Tan Seng Huat. – PPI
credit photo: Nallan Dhanabalan/Facebook