Berita | Bantuan segera elak PKS gulung tikar

KUALA LUMPUR: Bantuan keseluruhan berjumlah RM500 juta yang disalurkan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 bagi setiap usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terlalu kecil untuk memulihkan pendapatan pengusaha yang terjejas teruk.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang, berkata pihaknya berterima kasih atas keprihatinan kerajaan, namun berharap bantuan lebih menyeluruh dengan mengambil kira keperluan terdesak peniaga kecil, bagi meneruskan perniagaan masing-masing.

“Banyak peniagaan kecil yang lumpuh dan sudah beberapa bulan mereka tidak dapat berniaga.

“Pada pandangan saya, jumlah bantuan ini tidak mencukupi kerana untuk memulihkan semula perniagaan, bantuan kewangan lain turut diperlukan. Antara yang kritikal ialah membayar sewa kedai. Ramai yang gagal menjelaskannya bagi tempoh panjang, lebih enam bulan.

“Pada masa sama, pengusaha PKS juga tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana tidak mampu menggajikan pekerja. Jadi, bantuan kerajaan untuk membayar upah pekerja amat diperlukan ketika ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan disalurkan bermula Selasa depan.

Beliau berkata, bantuan berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM500 juta, akan memberi memberi manfaat kepada sejuta PKS mikro.

Michael berkata, kerajaan wajar mempertimbang bantuan tambahan kepada PKS terutama bantuan sewaan kedai sehingga hujung tahun bagi membolehkan peniaga kecil terus bertahan dalam mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Usahawan Melayu Selangor, Mohammad Kamal Mohd Khalid, berkata pihaknya sekurang-kurangnya dapat menarik nafas lega bagi meneruskan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.

“Melalui bantuan ini, ia dapat digunakan untuk untuk menambah bayar sewaan premis dan ada juga yang membuat tambahan modal bagi meneruskan perniagaan.

“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa depan bagi membantu peniaga dalam meningkatkan sekali gus menstabilkan semula perniagaaan mereka,” katanya.

Mohammad Kamal berkata, kerajaan juga wajar menyediakan bantuan dan pinjaman perniagaan yang mudah dan cepat dalam tempoh mendesak sekarang.

“Kami mengharapkan bantuan dan pinjaman perniagaan bagi PKS dipermudah. Kenakanlah syarat yang tidak menyusahkan.

“Langkah ini penting supaya kami dapat meneruskan perniagaan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, dalam situasi kritikal ini, sewajarnya Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melaksanakan perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perniagaan bagi membincangkan secara terperinci mekanisme dan langkah pemulihan terbaik bagi membantu usahawan PKS terjejas. – BH ONLINE

oleh Latifah Ariffin dan Nasarudin Parzi

kredit foto: SepatahDua

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: