Berita | Keputusan wajibkan pelancong jalani ujian pengesanan Covid-19 tepat

Langkawi: Keputusan mewajibkan pelancong ke Langkawi menjalani ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu dianggap tepat bagi menghalang individu positif menjejaskan pengunjung yang lain.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ujian pengesanan terbabit didapati memberi manfaat apabila pelancong positif dikesan lebih awal sebelum mereka memulakan perjalanan.

Beliau berkata, jika pelancong positif berkenaan terlepas menaiki pesawat, maka ia boleh menjejaskan penumpang lain, sekali gus mengganggu pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi yang bermula semalam.

“Ujian pengesanan sebelum pelancong datang didapati memberi kesan dan bermanfaat selepas proses itu mengesan ada kes positif Kategori Satu dan Dua yang tiada gejala selain ia membuktikan bahawa ada keperluan proses itu terus dilakukan.

“Apabila ujian pengesanan mendapati pelancong positif, itu agak malang buat mereka, kita harap ujian pengesanan ini diteruskan kerana kalau dia naik pesawat maka satu pesawat terjejas selain turut memberi kesan kepada orang tempatan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pantai Chenang di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, mengesan lima kes positif dalam kalangan pelancong ke Langkawi selepas ujian pengesanan diarah dibuat di semua pintu masuk udara dan laut.

Muhammad Sanusi berkata, bagi pengunjung yang menggunakan perkhidmatan feri, mereka dinasihat melakukan ujian pengesanan lebih awal bagi mengelak kesesakan di terminal.

“Ujian pengesanan akan diteruskan di pintu masuk, sebolehnya pelancong buat ujian pengesanan sebelum datang ke jeti dan ada surat pengesahan keputusan ujian selain sijil lengkap dua dos vaksin.

“Jika tidak lengkap, proses ujian pengesanan terpaksa dibuat di terminal dan ia akan mengambil masa, mengganggu perjalanan dan mungkin menyebabkan mereka terlepas feri,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan hari kedua gelembung pelancongan Langkawi, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan usaha pihak berkuasa memastikan keadaan terkawal dan pelancong patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Saya percaya kalau semua orang beri kerjasama baik, patuh kepada arahan pihak berkuasa, kita yakin gelembung pelancongan ini akan memberi manfaat yang banyak kepada orang ramai dan ekonomi negeri.

“Malah saya difahamkan ada wakil Tourism Pahang berada di sini meninjau kaedah yang kita laksana di Langkawi mungkin untuk mereka buat perkara sama di Pulau Tioman dan pulau lain,” katanya. – HARIAN METRO

oleh M Hifzuddin Ikhsan

kredit foto: Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: