Kebersamaan semua pihak jayakan agenda pendidikan masa depan

LANJUTAN sesi persekolahan 2021 hingga Mac tahun depan seperti diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menimbulkan pelbagai reaksi.

Kita sedia maklum murid dan pelajar mengharungi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kesan penularan COVID-19.

PdPR dalam norma baharu menunjukkan anjakan paradigma dalam dunia pendidikan masa kini. Sudah tentu langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan kelangsungan pendidikan kepada murid di sekolah dengan lanjutan tempoh persekolahan itu difahami masyarakat.

Namun, sejauh mana kerelevanan keputusan itu diambil menjadi persoalan dalam masyarakat khususnya guru di sekolah. Lazimnya, sesi persekolahan tamat pada pertengahan November dan cuti akhir tahun akan berlangsung hingga hujung Disember.

Justeru, pihak sekolah perlu menjajarkan semula pelaksanaan sukatan kurikulum sedia ada bagi mengisi empat bulan sesi PdPR atau kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) bermula Disember hingga Mac tahun depan.

Pihak pentadbiran sekolah perlu mengenal pasti standard kandungan pembelajaran belum diselesaikan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan sekiranya sudah diselesaikan, ia perlu beralih kepada objektif sokongan pembelajaran dalam sesuatu topik.

Pendekatan guru perlu lebih kepada peneguhan topik setiap pembelajaran murid supaya mereka lebih menguasai kemahiran berlandaskan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) berpandukan enam tahap penguasaan murid.

Di samping itu, penekanan KPM dalam memastikan sesi pembukaan sekolah secara berfasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada mampu memberi panduan kepada pihak sekolah atau institusi pendidikan menjalankan sesi PdPC lebih berkesan.

Pihak sekolah perlu memastikan kesediaan fizikal sempurna dengan mematuhi SOP sedia ada sebelum sesi persekolahan bermula secara berperingkat pada bulan depan. Bilik darjah sedia ada perlu diatur kemas dengan memastikan jarak satu meter dipatuhi. Fizikal bilik darjah perlu kondusif supaya murid dapat belajar lebih berfokus.

Warga pentadbir perlu sentiasa cakna perkembangan terkini dan memastikan pelaksanaan PdP dilaksanakan dengan baik.

Kesediaan pihak sekolah dalam menyediakan infrastruktur pembelajaran kondusif membantu murid menyesuaikan diri dengan cepat selepas beberapa bulan tidak hadir ke sekolah. Pihak guru pula perlu menyediakan bahan pengajaran berfokus sama ada bersemuka atau dalam talian.

Pengajaran guru harus lebih multitugas dengan mengambil kira tahap kognitif murid. Guru perlu berfikir lebih rasional dalam melaksanakan PdPC dan PdPR mengikut standard pembelajaran sedia ada.

Guru juga harus memberi tumpuan dalam memastikan penguasaan kemahiran murid dicapai dengan baik, contohnya peta minda dan nota kreatif.

Aktiviti PdPc secara bersemuka perlu lebih banyak menggunakan aktiviti hand-on dan pembelajaran berasaskan projek bagi memantapkan pembelajaran penggunaan modul dalam PdPR sebelum ini.

Pendekatan kemahiran digital dalam kalangan guru perlu dipertingkatkan di samping memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran dirancang.

Di samping itu, Dasar Digital Negara perlu menekankan aspek penggunaan teknologi dalam pengajaran selaras perkembangan terkini.

Aspek kemahiran digital perlu diberi pendedahan kepada guru, ibu bapa dan murid demi meningkatkan kefahaman, kemahiran serta pengaplikasian ilmu dalam kehidupan sebenar. Pembangunan sahsiah juga perlu diserap dalam PdP sama ada dalam talian atau bersemuka.

Pemerkasaan sahsiah individu penting kepada generasi berlatar belakang arus modenisasi berkembang terlalu pantas. Pendekatan ‘Sinergi Bersama’ perlu diambil, iaitu berganding bahu bukan sahaja guru, malahan ibu bapa dan komuniti setempat.

Pengaplikasian pendekatan ini mampu membantu pembelajaran murid sama ada bersemuka atau atas talian. Sehubungan itu, murid juga perlu disediakan dengan kognitif kandungan aplikasi persekitaran pembelajaran berbeza.

Penerimaan murid dalam persekitaran berbeza perlu ditekankan bagi menyediakan setting pembelajaran menjurus ke arah objektif perlu dicapai.

Murid sudah menguasai kemahiran boleh dilibatkan sebagai sistem kawan dalam aktiviti pengajaran apabila bersemuka. Aktiviti seperti intervensi dan kecemerlangan mengikut topik juga boleh diterapkan kepada murid supaya mereka dapat menguasai topik pembelajaran.

Murid yang masih mengikuti PdPR perlu diberi perhatian khusus supaya kesinambungan pembelajaran tidak terhenti. Murid perlu fokus dalam pembelajaran dan menguasai isi pengajaran guru.

Peranan ibu bapa penting dalam menyokong pembelajaran anak sama ada bersemuka di sekolah mahupun dalam talian.

Ibu bapa perlu berperanan sebagai pembimbing, pembangkit semangat dan pencetus pembelajaran anak demi meneruskan kelangsungan pendidikan.

Mereka juga boleh berperanan sebagai rakan sokongan kepada anak supaya dapat membantu pembelajaran berjalan dengan baik di samping motivasi daripada guru dan rakan sebaya.

Masyarakat pula, perlu melihat pendekatan diambil KPM secara holistik yang situasi menang-menang dilaksanakan demi memastikan pendidikan generasi sedia ada diteruskan demi kemenjadian murid dicapai.

Peranan komuniti perlu menyokong dengan memberi sumbangan idea dan penambahbaikan sistem pendidikan pada masa depan.

Tanggungjawab bersama komuniti ini dapat memperkasa pendidikan pada masa depan demi melahirkan masyarakat berilmu dan bersahsiah tinggi.

Hal ini turut mendapat perhatian Universiti Pendidikan Sultan ldris (UPSI) sendiri sebagai Peneraju Bitara Pendidikan di negara ini.

Penubuhan Akademi Pendidikan Sekolah Makmal berlandaskan Sekolah Tenaga Pengajar dapat membantu dalam merealisasikan agenda pendidikan masa depan. Kepakaran pensyarah dalam semua bidang pendidikan mampu membantu merealisasikan agenda ini dengan pendekatan pengajaran, penghasilan inovasi, penyelidikan berimpak dan kepakaran teknologi digital.

Tambahan pula, penubuhan Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (PPPI) UPSI baru-baru ini dapat memperkukuh pelaksanaan pendidikan secara holistik.

Apapun, sifat kebersamaan semua pihak perlu dalam memastikan sistem pendidikan di negara ini berjaya diterjemah dan menepati objektif melahirkan insan seimbang seperti dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kerjasama semua peringkat perlu dalam memastikan pendidikan kita berkualiti dan memberi nilai tambah kepada pembangunan negara khasnya, masyarakat dan individu.

Pembangunan modal insan perlu dititikberatkan demi memastikan masyarakat kalis masa depan, berilmu digital dan mampu berdaya saing pada peringkat global.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: