Berita | Dilema ‘cukai durian runtuh’: Tanggungjawab moral atau dihukum kerana keuntungan

Gesaan supaya kerajaan mengenakan cukai keuntungan luar biasa atau “cukai durian runtuh” terhadap syarikat-syarikat yang menikmati keuntungan besar sepanjang pandemik mendapat pelbagai reaksi dengan pakar mengatakan pelaksanaannya tidak perlu, namun seorang ahli perniagaa mengalu-alukan cukai itu sebagai alat untuk merapatkan lagi jurang pendapatan selepas 20 bulan ekonomi terjejas.

Ameer Ali Mydin, yang memiliki rantaian pasar raya Mydin di mana perniagaannya antara yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh Covid-19 berpandangan langkah memperkenalkan cukai durian runtuh pada waktu ini bukanlah sesuatu yang keterlaluan.

Beliau menyifatkan cukai itu sebagai satu perkara yang baik untuk ekonomi kerana lebihan keuntungan boleh digunakan kerajaan untuk membantu golongan yang terkesan akibat penutupan perniagaan sejak beberapa bulan selain menunaikan tanggungjawab moral.

“Dari sudut pandangan seorang peniaga, kami ingin jana keuntungan, tetapi ia mestilah keuntungan yang adil,” kata Ameer kepada MalaysiaNow.

“Dalam Islam, jika raih duit yang banyak sangat, digalakkan untuk sumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Bukannya suruh beri semua keuntungan, hanya sebahagian. Itu pun untuk kebaikan syarikat itu sendiri, jika negara jatuh miskin, syarikat itu pun akan jatuh bersama.”

Pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia melaksanakan sekatan-sekatan dan dalam beberapa kes menutup perniagaan, namun beberapa sektor menyaksikan keuntungan yang besar.

Syarikat-syarikat seperti Grab dan pembuat sarung tangan getah Top Glove adalah antara yang dilaporkan mendapat keuntungan yang tinggi dan ramai yang mempersoalkan tanggungjawab sosial yang perlu dilakukan mereka.

Top Glove mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) suku kedua tahun kewangan 2021 sebanyak RM2.9 bilion, melonjak 24 kali ganda berbanding RM116 juta dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad adalah pendesak kuat yang mahu kerajaan mengenakan cukai durian runtuh bagi mengimbangi kesan buruk yang dialami ekonomi negara disebabkan Covid-19.

Namun Putrajaya setakat ini menolak langkah tersebut, mengatakan ia akan memberi persepsi negatif kepada para pelabur.

Sebaliknya, ia mengatakan pembuat sarung getah utama yang merekodkan keuntungan akan menyumbang sebanyak RM400 juta kepada kerajaan bagi usaha memerangi Covid-19.

Ahli ekonomi, Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilihat bersetuju dengan pendirian tersebut, mengatakan cukai durian runtuh dibimbangi akan menyebabkan kesukaran negara menarik pelabur asing ke negara ini.

“Kebiasaannya keuntungan dikaitkan dengan inovasi, kreativiti dan usaha syarikat, tetapi jika dikenakan cukai kerana merekodkan keuntungan yang tinggi, itu mungkin ditafsir sebagai satu bentuk penalti,” kata ketua ahli ekonomi Bank Islam itu kepada MalaysiaNow.

Beliau memberi amaran ia boleh mendorong syarikat-syarikat pelabur beralih ke negara lain yang mempunyai cukai mesra perniagaan.

“Kita sedia maklum, nak dapatkan pelaburan langsung asing (FDI) pun sudah susah, maka sebaiknya industri sedia ada dijaga dan dipelihara,” katanya.

Menurut Afzanizam, terdapat implikasi pelaksanaan cukai itu terhadap ekonomi negara terutama dari segi jangka panjang.

Beliau berkata keuntungan cukai kerajaan bergerak secara langsung dengan tahap ekonomi negara yang mula membuka semula sektor ekonomi.

“Di sini peranan kerajaan adalah pastikan proses pemulihan ekomomi berjalan lancar.

“Dalam keadaan ekonomi terkial-kial untuk catat pemulihan, kita bimbang proses pemulihan ekonomi akan terbantut sekiranya cukai baru diperkenalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ameer berkata tiada guna jika syarikat tersebut merekodkan keuntungan tinggi, apabila negara berdepan begitu banyak masalah kerana ia lama-kelamaan akan memberi kesan kepada syarikat itu sendiri.

Tambah beliau, pendekatan yang lebih baik adalah syarikat terbabit tampil dan menghulurkan sumbangan secara rela sebelum diminta oleh pihak-pihak tertentu.

“Syarikat mungkin boleh beri sejumlah dana dan beritahu apakah cara terbaik untuk gunakan duit itu.

“Ini supaya syarikat tersebut boleh pastikan dana yang diberi dapat dipantau dan digunakan sebaiknya,” katanya. – MALAYSIA NOW

oleh Azzman Abdul Jamal

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: